Pagi ini permua Fortnite telah dibuang dari App Store selepas ia memintas sistem pembelian dalam permainan Apple. Hasilnya V Bucks, mata wang Fornite dapat dibeli pada harga lebih rendah kerana tidak perlu membayar 30% caj yang dikenakan Apple. Seperti telah menjangka apa yang akan berlaku, Epic Games yang membangunkan Fortnite telah mengemukakan tuntutan anti monopoli ke atas Apple di mahkamah California.
Di dalam tuntutan tersebut, Epic Games ingin Apple berhenti menggunakan monopoli mereka di App Store untuk mengenakan bayaran 30% yang tinggi ke atas pembangun setiap aplikasi yang terjual. Epic Games tidak meminta sebarang bayaran ganti rugi tetapi sebaliknya meminta injunksi sementara untuk membolehkan persaingan yang adil berlaku di dalam App Store yang mendatangkan kesan ke atas jutaan pengguna mereka dan puluhan ribu pembangun aplikasi yang lain.
Impak tuntutan ini ke atas Apple adalah amat besar kerana pastinya mendapat sokongan pembangun lain yang turut mengalami masalah yang sama. Sebelum ini kami melaporkan aplikasi Project xCloud oleh Micosoft dan Stadia oleh Google tidak ditawarkan di App Store kerana setiap kandungan permainan yang ditawarkan perlu menjalani proses saringan Apple terlebih dahulu. Facebook Gaming juga lewat hadir ke App Store kerana mod permua pantas dalam aplikasi perlu dibuang bagi memenuhi syarat yang sama.
Dikemaskini – Epic Games baru sahaja mengemukakan tuntutan anti-monopoli ke atas Google juga selepas Fornite dibuang dari Play Store.