Carian
Samsung Nafikan Laporan Akan Lancarkan Peranti Skrin Boleh-Lipat Mampu Milik
November 15, 2023 Effi Saharudin

Beberapa hari yang lalu muncul laporan bahawa Samsung akan mula menawarkan peranti skrin boleh-lipat mampu milik menggunakan nama Galaxy Z FE. Tetapi kini Samsung secara rasmi menafikan laporan ini menerusi kenyataan ke laman Korea Joongang Daily. Wakil Samsung berkata syarikat tidak mempunyai perancangan menawarkan peranti skrin boleh-lipat pada harga kelas pertengahan.

Mereka turut berkata ura-ura mengatakan sebaliknya adalah tidak berasas. Adalah agak aneh kenyataan rasmi ini dikeluarkan oleh Samsung sendiri kerana semasa Z Fold pertama dilancarkan, mereka berkata pada suatu ketika ingin menghasilkan peranti skrin boleh-lipat pada harga yang boleh dimiliki lebih ramai pengguna.

Penawaran peranti skrin boleh-lipat yang lebih mampu milik sebenarnya bukanlah sesuatu yang mustahil kerana telah dilakukan oleh Motorola dan Tecno. Besar kemungkinan Samsung kini melihat peranti skrin boleh-lipat Galaxy Z harus dikategorikan sebagai peranti premium sebaris dengan Galaxy S. Oleh itu harga premium perlu dikekalkan bagi mengekalkan prestij.

Kepada orang ramai yang kecewa dengan berita pagi ini anda sebenarnya tidak perlu risau. Biasanya apabila wujud permintaan dari pengguna dan wujud kekosongan di pasaran, pasti akan wujud syarikat lain yang akan mengisinya.

Komen