Carian
Mengingati Samsung Galaxy Tab – Telefon “Talam” Yang Mantap
November 21, 2023 Effi Saharudin

Apakah telefon pintar yang paling penting dalam kehidupan anda? Jawapan aku mudah dan ia adalah Samsung Galaxy Tab yang dilancarkan pada Oktober 2010. Ia adalah yang paling penting kerana adalah peranti Android pertama yang aku gunakan serta membuka mata kepada limitasi skrin sub 5″ yang digunakan pada telefon pintar pada waktu tersebut.

Kelebihan

Di kalangan peminat peranti Samsung, Galaxy Tab yang juga dikenali sebagai Galaxy Tab 7.0 ialah sebuah tablet legenda kerana merupakan alternatif yang baik untuk iPad generasi pertama yang dilancarkan beberapa bulan sebelumnya. Pada tahun 2010, Samsung masih dalam era berani mencuba melakukan perkara yang tidak berani dilakukan pengeluar lain. Menawarkan tablet dengan skrin 7″ pada waktu tersebut mungkin dianggap aneh kerana tiada yang sepertinya.

Bagi aku yang menjadikan Galaxy Tab antara peranti terbaik pernah aku gunakan ialah hayat bateri yang panjang serta skrin yang amat besar. Setelah bertahun menggunakan skrin 4″ (yang dahulunya dianggap besar) ramai mencari peranti yang membolehkan video YouTube dan aplikasi permainan dijalankan pada skrin yang lebih besar.

Aku secara peribadi menggunakan Galaxy Tab sebagai sistem info hibur kenderaan. Pada waktu tersebut penggunaan skrin besar dalam kenderaan masih lagi terhad kepada kenderaan mewah. Dengan pemegang tablet rasmi yang dijual oleh Samsung, Galaxy Tab boleh digunakan sebagai sistem info hibur dan juga navigasi GPS dalam kereta.

Dengan bateri sebesar 4000 mAh, Galaxy Tab juga adalah sebilangan kecil peranti pintar di pasaran yang boleh digunakan hampir sepanjang hari. Pada waktu ini majoriti telefon pintar Android dilengkapi bateri sebesar 2000-2500 mAh yang jauh lebih kecil.

Kekurangan

Walaupun ia unik, tidak bermakna Galaxy Tab adalah peranti yang sempurna. Kekurangan paling ketara ialah ia tidak mempunyai gagang telinga untuk melakukan panggilan telefon. Adalah normal pada tahun 2010 hingga 2011 untuk melihat pengguna Galaxy Tab menjawab panggilan telefon dengan ia boleh didengari orang di persekitaran. Harus di ingat pada waktu ini fon telinga bluetooth masih agak mahal. Fon telinga berwayar pula berselirat apabila diletakkan di dalam poket. Oleh itu privasi ketika melakukan panggilan telefon adalah sukar dilakukan.

Harga jualan di Malaysia pada tahun 2010

Tablet ini juga amat besar dan tebal mencecah 12mm. Apabila kerangka digunakan ia menjadi semakin tebal. Dengan saiznya yang besar mustahil untuk ia disimpan di dalam kocek membuatkan ia harus dipegang dalam tangan sepanjang masa.

Isu terakhir dengan Galaxy Tab ialah ia menggunakan kepala pengecas 30 pin yang tidak digunakan secara meluas sedangkan pada waktu ini semakin banyak peranti sudah berubah ke mikroUSB. Mengecas bateri sebesar 4000 mAh yang digunakan juga perlahan sehingga tiga jam lamanya.

Kenapa Galaxy Tab Penting?

Kerana berdasarkan input pengguna dan sambutan yang amat baik di pasaran, Galaxy Tab menyebabkan siri Galaxy Note dihasilkan. Samsung menyedari wujud pasaran untuk telefon pintar dengan skrin yang lebih besar – antara 5-5.5″ – asalkan ia masih boleh disimpan dengan selesa di dalam kocek. Tanpa Galaxy Note (dan juga Dell Streak) era telefon pintar yang lebih besar skrinnya mungkin tidak berlaku.

Samsung terus mengemaskini model siri Galaxy Tab dengan peranti seterusnya hadir dengan bezel lebih nipis, gagang telinga untuk panggilan telefon, tubuh lebih nipis dan sokongan S Pen teknologi Wacom.

Samsung Galaxy Tab S9 Ultra

Era tablet telahpun berakhir dengan data menunjukkan jualannya kembali ke tahap pra-pandemik. iPad mendominasi lebih 50% pasaran sementara Samsung di tangga kedua dengan sekitar 29% pasaran. Kedudukan dominan Samsung dalam pasaran tablet Android ini boleh dijejak kejayaannya sejak Galaxy Tab dilancarkan 13 tahun yang lalu.

Adakah di kalangan pembaca Amanz yang pernah memiliki Galaxy Tab atau model-model lain selepasnya? Jika ya apakah memori indah atau buruk anda alami sepanjang menggunakan tablet ini?

Komen