Carian
Ulasan Oppo A79 5G – Terlalu Sederhana Dalam Kategori Yang Kompetitif
November 17, 2023 Effi Saharudin

Apakah yang diperlukan pada sebuah telefon pintar pada tahu 2023? Ini ialah persoalan yang perlu dijawab kerana lambakan telefon pintar di pasaran menyebabkan orang ramai semakin sukar mencari peranti yang ingin dibeli. Seperti kata Nazrin, salah seorang editor di Amanz – kita kini hidup dalam dunia yang terlalu banyak peranti sehingga kita menjadi lumpuh untuk melakukan pilihan.

Oppo A79 5G ialah sebuah lagi telefon kelas pertengahan harga bawah RM1500 yang baru sahaja dijual minggu ini. Adakah ia berbaloi? Apakah kelebihan serta kekurangan yang ada? Ini ulasan ringkas kami untuk Oppo A79 5G.

SPESIFIKASI

Oppo A79 5G
Skrin6.72″ IPS LCD, FHD+, 90HZ
PemprosesMediaTek Dimensity 6020 (7nm)
Cip2 X 2.2 GHz Cortex-A76
6 X 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikDimensity 6020 (7nm)
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman256GB UFS 2.2
Mikro SD 1TB
Kamera Utama50MP, f/1.8 (Sudut Lebar)
2MP, f/2.4 (Kedalaman)
Kamera Swafoto8MP f/2.0
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 33W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIPX4
Sistem ImbasanJari/Wajah
Harga JualanRM 1199 (8/256 GB)

SKRIN

Skrin 6.72″ adalah dari jenis IPS LCD, resolusi FHD+ dan kadar segar semula yang adaptif. Kadar segar semula berubah antara secara bergantung kepada kandungan yang ditonton pada skrin atau boleh dikekalkan ke 60 atau 90Hz sepanjang masa. Paparan warna, sudut pandangan dan keterangan bawah matahari sekadar sederhana sahaja kerana ini kekurangan skrin LCD.

Bezel tebal pada bahagian atas dan bawah dengan terdapat lubang kamera yang tidak begitu besar. Skrin mengesan sentuhan dengan baik serta responsif. Kadar segar semula 90Hz mungkin bukan yang terpantas tetapi ia mampu memberikan pengalaman penggunaan yang terasa lancar. Skrin ini walau bagaimanapun tidak menyokong sebarang paparan kandungan HDR.

Sistem haptik juga terasa kuno kerana menggunakan motor jenis peranti yang dilancarkan lima tahun yang lalu. Kerana sudah terbiasa dengan sistem haptik lebih realistik pada peranti mercu, saya kurang menyenangi sistem haptik yang sudah agak ketinggalan zaman ini.

BIOMETRI

Pengimbas cap jari diletakkan pada butang kuasa. Permukaan butang kuasa yang besar dan rata mempercepatkan jari dikesan dengan pantas. Terdapat juga imbasan wajah yang juga pantas dengan skrin akan menyala terang bagi membolehkan ia digunakan dalam keadaan gelap. Tiada isu dengan sistem biometri A98 5G.

REKAAN

Rekaan tubuh adalah berkotak pada bahagian sisi dengan panel belakang dengan corak seakan kristal yang agak menarik. Penggunaan panel kaca di belakang memberikan impresi ia sebuah peranti yang premium. Butang laras audio dan kuasa diletakkan pada sisi kanan. Sementara itu di bawah terdapat bicu audio 3.5mm, port USB-C dan salah satu daripada dua speaker stereo.

Sebuah talam SIM yang menyokong dwi SIM nano dan kad mikro SD terletak pada sisi kiri. Talam SIM adalah dari jenis hibrid bermakna dwi SIM tidak boleh digunakan serentak jika pemilik ingin turut menambah memori menggunakan kad mikro SD sehingga 1TB.

Peranti selesa dipegang dalam tangan dengan kesemua butang boleh diakses dengan pantas. Panel belakang walaupun diperbuat daripada kaca tidak kotor dengan mudah. Corak seakan marmar di belakang membantu menyorokkan kekotoran sekiranya ada. Di belakang ini terdapat sebuah bonggol kamera yang besar tetapi tidak terlalu tinggi. Walaupun besar ia sekadar menempatkan dua kamera 50+2 MP sahaja bersama dengan flash.

Tubuh peranti juga masih lagi nipis sungguhpun dilengkapi bateri sebesar 5000 mAh. Walaupun kerangka silikon yang diberikan dipasang, peranti masih lagi agak nipis. Akhir sekali A79 5G melepasi piawaian kalis air IPX4. Pada tahap ini peranti sekadar tahan percikan air maka janganhlah tersalah dibawa menyelam di dalam kolam.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi ColorOS 13 berasaskan Android 13 digunakan pada telefon ini. Ia sama sahaja dengan sistem operasi yang kami gunakan pada beberapa peranti Oppo tahun ini. Walaupun sekadar dilengkapi cip kelas pertengahan, ColorOS 13 lancar digunakan serta tidak mempunyai sebarang is melancarkan pelbagai aplikasi popular.

Ikonografi yang digunakan mudah difahami kerana mirip dengan Android stok. Sungguhpun begitu diberikan beberapa ciri tambahan seperti RAM Expansion untuk menambah RAM secara maya sehingga 8 GB. Pilihan 4 dan 6 GB turut diberikan atau mematikannya sahaja terus.

ColorOS turut mempunyai beberapa gestur seperti tatalan tiga jari untuk tangkapan layar, melukis huruf O pada skrin untuk melancarkan kamera dan melukis huruf V pula pula untuk mengaktifkan lampu suluh. Kesemua cir-ciri tambahan ini menambah nilai kepada peranti dan adalah ciri yang turut ditemukan pada model lebih mercu Oppo.

Oppo memberikan beberapa aplikasi gendut dalam folder Hot Apps dan Hot Games. Tetapi sekadar ikon diletakkan dalam dua folder ini. Jika berminat pengguna hanya perlu menekan butang memasangnya. Jadi pilihan yang diberikan kepada pengguna adalah amat baik kerana kesemua aplikasi ini tidak terpasang sehingga mengambil ruang storan peranti.

Ciri tambahan yang diberikan oleh Oppo ialah:

  • Radio – Fungsi radio terbina.
  • Flexible Windows – Memaparkan beberapa aplikasi dalam tingkap terapung.
  • Split Screen – Dua aplikasi dilancarkan serentak.
  • Kid Space – Mengubah peranti untuk mesra pengguna kanak-kanak
  • Gesture – Sokongan pelbagai gestur untuk mengawal peranti dan melakukan tangkapan layar.
  • Kids Space – Mod untuk kanak-kanak dengan sesetengah aplikasi boleh dikunci.
  • Smart Sidebar – Pintasan pantas ke lapan aplikasi pilihan terus dari talam sisi.
  • Simple Mode – Mod mudah untuk warga tua dengan antaramuka lebih besar dan deringan lebih lantang.

PENANDA ARAS

Selepas melakukan ujian penanda aras Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark Wildlife Extreme markah yang dicatatkan Dimensity 6020 adalah sederhana sahaja. Di bawah sedikit berbanding Dimensity 6100+ tetapi lebih baik berbanding Helio G99.

Kami bandingkan Oppo A79 5G dengan Realme 11 5G (Dimensity 6100+), Tecno Pova5 4G (Helio G99), Realme 10 4G (Helio G99), Samsung Galaxy M14 5G (Exynos 1330), dan Oppo A98 5G (Snapdragon 695)

Antutu 3D Benchmark

  • Oppo A79 5G – 395908
  • Realme 11 5G – 373,331
  • Tecno Pova5 4G – 406,217
  • Realme 10 4G – 398,203
  • Samsung Galaxy M14 5G – 454,662
  • Oppo A98 5G – 411,010

Geekbench6

  • Oppo A79 5G – 702/1863
  • Realme 11 5G – 720/1884
  • Tecno Pova 5 4G – 737/2005
  • Realme 10 4G – 572/1743
  • Samsung Galaxy M14 5G – 924/2129
  • Oppo A98 5G – 885/2034

WildLife Extreme

  • Oppo A79 5G – 328
  • Realme 11 5G – 327
  • Tecno Pova 5 4G – 1,263
  • Realme 10 4G – N/A
  • Samsung Galaxy M14 5G – 1388
  • Oppo A98 5G – 1212

Cip Dimnesity 6020 sebenarnya hanyalah Dimensity 700 yang dijenamakan semula. Maka janganlah mempunyai harapan cip yang sudah agak berusia ini akan memberikan prestasi pada tahun yang sama dengan Dimensity 9200 atau Snapdragon 8 Gen 1. Jika ditetapkan ke tahap grafik sederhana, permua COD Mobile dan PUBG Mobile boleh dimainkan dengan kadar bingkai yang cukup memuaskan. Majoriti aplikasi utama turut boleh dijalankan dengan pantas tanpa sebarang isu. Era cip MediaTek dilabel sebagai cip pemproses yang lemah sudah berakhir.

TELEFONI, GPS dan RADIO

Peranti menyokong rangkaian 5G di Malaysia. Saya menguji peranti dengan kad SIM CelcomDigi. Kelajuan internet adalah memuaskan dan begitu juga dengan kelajuan WiFi yang menyokong sehingga WiFi 5 GHz. Prestasi GPS tidak begitu pantas dengan ia memerlukan masa beberapa saat sebelum lokasi dikesan. A79 5G turut mempunyai sistem radio terbina asalkan fon telinga berwayar digunakan sebagai antena. Semakin kurang peranti di pasaran sekarang hadir dengan ciri radio.

KAMERA

Kamera sudut lebar dipadankan kepada sensor 50MP dan pengesan kedalaman sebesar 2MP. Di hadapan pula sensor 8MP digunakan. Di atas kertas spesifikasi ini adalah asas sahaja kerana tiada langsung sistem OIS ataupun lensa ultra sudut lebar yang kini boleh dianggap sebagai perlu.

Gambar yang diambil di waktu siang adalah memuaskan tetapi tidak begitu tajam. Penghasilan semula warna juga tidak begitu menyerlah dengan ia juga sedikit gelap berbanding situasi sebenar. Pada waktu malam imej semakin nampak lembut, butiran agak hilang dan terdapat kesan hingar. Tanpa OIS, imej mod malam yang dihasilkan kurang memuaskan pada hemat saya.

Tiada zum optikal maka ia terhad kepada 1X, 2X, 5X dan 10X secara digital. Dapat dilihat pada sampel di bawah zum sehingga 2X sahaja nampak elok. Melebihi had ini imej yang terhasil sedikit pecah dan hilang terus keperinciannya lebih-lebih lagi pada tetapan 10X.

BATERI

Bateri yang diberikan berkapasiti 5000mAh dan menyokong pengecasan berwayar 33W yang diberikan dalam kotak. Hayat bateri adalah sederhana sahaja dengan purata SOT 8 jam pada penggunaan biasa. Dalam situasi terbaik saya berjaya menggunakan A79 5G sehingga sekitar 16 jam sebelum perlu dicas. Pengecas yang disertakan ialah dari jenis USB-A ke USB-C. Masa pengecasan semula bateri adalah sekitar 1 jam sahaja. Tak terlalu perlahan tetapi juga tidak begitu laju.

AUDIO

Yang bagus pada A79 5G ialah terdapat bicu audio 3.5mm dan speaker stereo. Yang kurang bagus ialah audio daripada speaker adalah sekadar ala kadar. Apabila lagu dimainkan pada kelantangan tinggi, audio yang dihasilkan menjadi berserabut. Tiada sistem Dolby Atmos untuk memberikan pengalaman audio yang lebih baik.

PERANTI PESAING

Oppo A79 5GVivo Y36 5GRealme 11 5G
6.72″ IPS LCD, 90Hz
1080 x 2400 pixel
(~392 ppi)
6.44″ IPS LCD, 60Hz
1080 x 2388 pixel
(~395 ppi)
6.72″ IPS LCD, 120Hz
1080 x 2400 pixel
(~392 ppi)
Dimensity 6020 (7nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 6020 (7nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 6100+ (6nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
6 x1.7 GHz Kryo 660 Silver
Mali-G57 MC2Mali-G57 MC2Mali-G57 MC2
8GB RAM8GB RAM8GB RAM
256GB ROM256GB ROM256GB ROM
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (Lebar)
2MP, (Kedalaman)
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (Lebar)
2MP, (Kedalaman)
Kamera Utama
108MP, f/1.8 (Lebar)
2MP, f/2,4 (Kedalaman)
Kamera Hadapan
8MP, f/2.0
Kamera Hadapan
16MP f/2.5
Kamera Hadapan
16MP, f/2.5
IPX4IP54Tiada
Bicu audioBicu audioBicu audio
Audio monoAudio monoAudio mono
5000mAh
Berwayar 33W
5000mAh
Berwayar 44W
5000mAh
Berwayar 67W
RM1199 (8/256GB)RM1099 (8/256GB)RM1199 (8/256GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Oppo A79 5G
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 33W
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Oppo A79 5G bukan sebuah telefon pintar yang gagal. Ia cukup berkuasa, pantas, mempunyai sistem operasi yang baik, bateri yang agak tahan lasak, rekaan yang cantik dan hadir dengan tubuh kalis percikan air. Ini semua saya rasakan dimahukan oleh majoriti orang ramai di luar sana. Tetapi hakikatnya dalam kategori peranti kelas pertengahan mampu milik, terdapat beberapa pilihan yang lebih baik.

Realme 11 5G dilengkapi cip sedikit lebih berkuasa, pengecas lebih pantas dan mempunyai rekaan lebih kacak pada harga yang sama (RM1199). Begitu juga dengan Vivo Y36 yang adalah sama tetapi lebih murah (RM1099). Dalam pasaran yang sangat kompetitif, Oppo A79 5G tenggelam kerana terlalu sederhana.

Pro

  • Rekaan yang nipis selesa dalam tangan.
  • Skrin lancar 90Hz.
  • Prestasi masih memuaskan walaupun spesifikasi rendah.
  • Ketahanan bateri baik dengan pengecas disertakan.
  • Speaker stereo dan bicu audio

Kontra

  • Tiada kamera sudut lebar.
  • Kemampuan kamera sederhana sahaja.
Komen