Apple memperkenalkan ciri Emergency SOS yang membolehkan penghantaran SMS kecemasan menggunakan sambungan satelit tahun lalu. Pada asalnya perkhidmatan ini hanya ditawarkan percuma selama dua tahun kepada pemilik siri iPhone 14 sebelum mereka perlu membayar untuk terus menggunakannya. Hari ini Appe mengumumkan pemilik siri iPhone 14 menggunakan Emergency SOS secara percuma selama setahun lagi iaitu sehingga November 2025.
Ini bermakna pemilik siri iPhone 14 menikmati perkhidmatan percuma selama tiga tahun. Tetapi tawarkan ini bersyarat dengan ciri Emergency SOS perlu diaktifkan sebelum 15 November 2023 di negara-negara yang disokong sahaja. Pemilik siri iPhone 15 pula boleh menggunakan perkhidmatan ini secara percuma selama dua tahun selepas diaktifkan. Ini bermakna pelan berbayar Emergency SOS hanya akan diumumkan pada tahun 2025.
Pada waktu ini Emergency SOS boleh digunakan di 16 negara sahaja dan Malaysia antara negara yang belum disokong. Sejak diperkenalkan terdapat banyak laporan pemilik siri iPhone 14 berjaya diselamatkan selepas ditimpa kemalangan di kawasan tanpa perkhidmatan selular.
Apple tidak mengatakan mengapa perkhidmatan ini terus ditawarkan secara percuma dan bilakah ia akan dikembangkan kepada negara-negara lain. Yang pasti pada peranti Android ciri yang sama belum ditawarkan secara meluas dan sistem Snapdragon Satellite kini terhenti selepas Qualcomm menamatkan kerjasama dengan Iridium minggu lalu.