Cari @ Amanz

Seperti yang telah mereka umumkan beberapa minggu yang lalu, Google akan menambah lebih banyak ciri kecerdasan buatan (AI) pada produk-produk mereka. Hari ini YouTube mengumumkan dua ciri baharu iaitu Dream Track for Shorts dan Music AI yang membolehkan pengguna menjana muzik latar belakang dengan bantuan AI untuk kandungan yang dihasilkan.

Dream Track for Shorts akan menjana lagu latar belakang sepanjang 30 saat mengikut gaya 9 artis terkemuka Alec Benjamin, Charlie Puth, Charli XCX, Demi Lovato, John Legend, Papoose, Sia, T-Pain, dan Troye Sivan berdasarkan prom yang dimasukkan oleh pengguna. Muzik yang dijana kemudian hanya boleh digunakan dalam video Shorts.

Seterusnya ialah alat Music AI yang boleh membantu pengguna yang tidak tahu memainkan alat atau membaca nota muzik menghasilkan lagu sendiri. Mereka boleh menyanyikan melodi yang ingin dihasilkan kepada Music AI dan kemudian meminta ia mengubahnya menjadi ketukan dram, petikan gitar dan pelbagai lagi instrumen muzik yang lain.

Kedua-dua ciri ini diberikan kepada sebilangan kecil pengguna serta penghasil kandungan YouTube terlebih dahulu bagi memperhalusinya sebelum diberikan kepada semua. Ia berasaskan model AIO Lyria yang dibangunkan oleh Google DeepMind.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd