Cari @ Amanz

Syarikat kecerdasan buatan (AI) paling terkemuka dunia sekarang OpenAI telah memecat CEO mereka Sam Altman awal pagi tadi. Lembaga pengarah OpenAI mengeluarkan kenyataan mengatakan Altman tidak konsisten dalam komunikasinya dengan lembaga pengarah, menghalang keupayaannya untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Lembaga tidak lagi yakin dengan keupayaan Altman untuk terus menerajui OpenAI menyebabkan beliau dikeluarkan daripada syarikat yang ditubuhkan oleh beliau pada tahun 2015.

Sam Altman dengan Satya Nadella

Mira Murati yang merupakan CTO syarikat kini memegang jawatan sebagai CEO sementara pengganti kepada Altman dilantik. Altman menerusi akaun X mengatakan beliau menikmati masa beliau di OpenAI khususnya dengan tenaga kerja yang berbakat di syarikat. Beliau akan memberikan keterangan lebih panjang mengenai pemecatan beliau di suatu masa nanti.

Beberapa jam selepas Altman dipecat, pengerusi yang juga merupakan pengasas syarikat Greg Brockman mengumumkan beliau berhenti daripada syarikat dengan serta merta menerusi akaun X beliau.

Keputusan mengejut ini diambil sehari selepas OpenAI menggantung pendaftaran akaun baharu untuk mengakses GPT-4 Turbo kerana permintaan yang luar biasa. Walaupun ChatGPT dan DALL-E 3 adalah dua AI generatif dengan pengguna terbanyak dunia, OpenAI masih beroperasi dengan menanggung kerugian kerana kos operasi yang amat tinggi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd