Nothing pada minggu ini telah menyatakan bakal hadir dengan Nothing Chats yang membolehkan pengguna peranti Nothing Phone untuk berinteraksi bersama pengguna iPhone yang menggunakan iMessage. Perkara ini sekaligus membuatkan ramai pengguna yang menantikannya.
Namun, pelancarannya dilihat ditarik balik apabila didapati Nothing Chats membawa kepada masalah privasi dan keselamatan yang serius. Pelbagai mesej dan fail yang dihantar melalui Nothing Chats tidak melalui proses penyulitan sekaligus mendedahkan ia kepada pihak lain.
Perkara ini didedahkan pelbagai pengkaji sekuriti, termasuk pasukan disebalik perkhidmatan permesejan Texts yang dimiliki oleh Automattic. Data yang dihantar juga dilihat disimpan melalui Firebase – dan sekali lagi tidak disulitkan.
Untuk makluman, Nothing Chats menggunakan teknologi dibangunkan oleh Sunbird. Ramai sebelum ini sedia menyatakan kebimbangan apabila perlu log masuk ke akaun Apple ID yang seterusnya akan melalui peranti Mac yang disediakan pihak Sunbird. Perkara berkenaan sendiri sedia merisaukan ramai, tetapi disebabkan janji penyulitan penuh, ramai yang ingin menggunakannya. Namun, dengan pendedahan ini, ia sekaligus memperlihatkan perkara berkenaan membawa kepada masalah sekuriti yang lebih serius lagi.
Pihak Nothing sedia menarik kembali aplikasi berkenaan daripada Google Play Store. Namun, kegagalan pihak Nothing dalam melakukan semakan dan janji mereka kepada pengguna amat membimbangkan melalui penawaran Nothing Chats ini.
Dengan pendedahan ini, ia tidak diketahui lagi sama ada pengguna akan terbuka untuk mencubanya kembali Nothing Chats ini pada masa akan datang.