Carian
Apple Ingin Gunakan Skrin, Bateri Dan Sensor Kamera Rekaan Sendiri
November 20, 2023 Effi Saharudin

Apple sudahpun menggunakan cip sendiri pada kesemua produk mereka. Kemampuan Apple Silicon menggantikan cip Intel mungkin pencapaian paling membanggakan kerana menawarkan prestasi yang tinggi lebih baik daripada apa yang mampu ditawarkan oleh Intel. Menurut laporan Bloomberg, seterusnya Apple ingin meningkatkan lagi komponen pada peranti yang direka sendiri oleh mereka.

Pertama sekali ialah pembangunan skrin MicroLED rekaan sendiri. Pada waktu ini panel keluaran Samsung digunakan. Produk pertama yang akan dilengkapi skrin MicroLED rekaan sendiri ialah Apple Watch sebelum digunakan pada kesemua produk mereka secara berperingkat. Usaha membangunkan skrin sendiri ini sudah dilakukan sejak lima tahun yang lalu tetapi belum menunjukkan sebarang hasil.

Seterusnya ialah membangunkan sensor mengesan glukosa (gula) dalam darah juga untuk Apple Watch. Paten teknologi ini pernah kami laporkan sebelum ini dan besar kemungkinan akan diperkenalkan pada Apple Watch X tahun depan. Tiada jam tangan pintar di pasaran sekarang mempunyai kemampuan mengesan tahap glukosa dalam darah tanpa jari dicucuk.

Pembangunan sensor kamera sendiri juga sedang dilakukan tetapi maklumat mengenai usaha Apple masih lagi samar. Adalah dipercayai sensor kamera yang dibangunkan bukan sahaja untuk telefon pintar tetapi juga untuk keperluan fotografi dan set kepala di masa depan.

Akhir sekali Apple turut ingin menghasilkan bateri rekan sendiri sepenuhnya. Seperti pembangunan sensor kamera, pembangunan teknologi bateri kendiri juga masih di peringkat awal.

Tidak banyak pengeluar yang mampu menggunakan teknologi rekaan sendiri sepenuhnya. Samsung adalah sebahagian kecil pengeluar yang menggunakan skrin, bateri, modem, storan, RAM, SOC, bateri dan sensor sendiri. Dengan menggunakan teknologi sendiri, kos menghasilkan peranti boleh dikurangkan sekaligus meningkatkan keuntungan.

Komen