Sejak daripada penghujung minggu lepas, pelbagai drama melanda salah satu syarikat kecerdasan buatan terkemuka, iaitu OpenAI. Ramai pengguna mungkin mengenali OpenAI melalui penawaran produk seperti ChatGPT dan juga Dall-E.
OpenAI telah pun secara tiba-tiba membuang CEO syarikat berkenaan, Sam Altman – sekaligus membawa kepada pelbagai perubahan berlaku secara drastik. Pengasas bersama Twitch kini menjadi CEO sementara OpenAI, sementara Sam Altman dilihat akan menyertai Microsoft. Sementara ratusan pekerja OpenAI kini mengancam untuk meletakkan jawatan sekiranya ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan tidak berubah.
Terbaru, laporan mengejutkan turut hadir mengatakan ahli lembaga pengarah OpenAI telah pun mendekati pesaing mereka dalam arena kecerdasan buatan, iaitu Anthropic untuk menyatukan syarikat.
Anthropic sedia menawarkan perkhidmatan seperti CloudeAI yang turut bersaing dalam ruangan sama seperti ChatGPT. Selain mendapatkan pengguna, mereka juga bersaing dengan OpenAI dalam usaha mendapatkan bakat pembangun di syarikat.
Ia dikatakan, pihak OpenAI turut menawarkan CEO semasa Anthropic untuk mengetuai OpenAI sebagai CEO – sekaligus menggantikan Sam Altman sebelum ini. Apa pun, ia dikatakan penawaran tersebut seperti telah ditolak oleh Anthropic.