Sebelum ini, kita telah mendengar berkenaan Huawei bakal memperkenalkan kemaskini pada HarmonyOS dinamakan HarmonyOS Next yang akan membawa sejumlah perubahan – terutamanya membuang sokongan untuk pemasangan aplikasi APK Android pada peranti berkenaan.
Lanjutan daripadanya, kini ia dikongsikan perubahan tersebut adalah untuk pengguna China sahaja, dan tidak terkesan untuk pengguna global.
Di China, HarmonyOS akan dikemaskini dan akan memerlukan semua aplikasi menawarkan sokongan natif untuknya. Pemasangan APK Android tidak lagi akan disokong – sekaligus akan beralih ke fasa seterusnya dalam menjadikan HarmonyOS sebagai sistem operasi alternatif Android.
Untuk pasaran global, Huawei masih akan mengekalkan penggunaan sistem operasi dengan penjenamaan EMUI dan menyokong aplikasi APK Android. Ia tidak diketahui lagi bilakah langkah peralihan ke HarmonyOS Next akan dilakukan untuk pengguna pasaran global.