Malaysia Dijangka Mempunyai Satelit Penderiaan Jauh Menjelang 2030
Aman
Kerajaan Malaysia sebelum ini sedia menyatakan hasrat untuk melancarkan satelit penderiaan jauh angkasa (remote sensing) tersendiri. Mengikut perkongsian terbaru Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, Malaysia dijangka mempunyai satelit penderiaan jauh tersendiri menjelang 2030.

Ini sekaligus akan memudahkan dalam proses melakukan pelbagai kajian tanpa perlu bergantung daripada data-data yang disediakan melalui satelit luar seperti masa kini.
Sebelum ini, ia telah dikatakan kemungkinan pelancaran sekitar 2024/2025, tetapi nampaknya berlaku penangguhan sedikit.

Dengan satelit ini, ia boleh mendapatkan data berkaitan permukaan bumi, suatu objek, daerah, atau fenomena. Menurut MOSTI, terdapat dua jenis teknologi penderiaan jauh, iaitu:
- Penderiaan pasif menggunakan sumber tenaga semula jadi iaitu matahari. Sensor satelit mengesan dan mengukur pantulan cahaya matahari atau gelombang elektromagnetik daripada objek sasaran. Satelit dengan sistem penderiaan pasif hanya dapat mencerap maklumat muka bumi pada waktu siang sahaja.
- Penderiaan aktif pula memiliki sumber tenaga sendiri dan sensor akan memancarkan gelombang elektromagnetik ke objek sasaran. Gelombang yang dipantulkan selepas interaksi dengan objek sasaran kemudiannya dikesan dan diukur oleh sensor. Oleh itu, satelit dengan sistem penderiaan aktif dapat mencerap maklumat muka bumi tanpa mengira waktu siang, malam atau sesuatu musim.
Menteri sendiri berkongsi menyatakan dengan data penderiaan jauh, ia boleh membantu pelbagai perkara, termasuk mengetahui pergerakkan tanah, membantu dalam sejumlah industri – termasuk nelayan, dan sebagainya.
Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan perkongsian lanjut MOSTI berkenaan dengan pelancaran satelit penderiaan jauh ini.