Carian
Sam Altman Kembali Sebagai CEO OpenAI Dengan Lembaga Pengarah Baharu
November 22, 2023 Nazrin

Pada penghujung minggu lepas, lembaga pengarah OpenAI telah memecat Sam Altman sebagai CEO syarikat tersebut, berkuat-kuasa serta merta, tetapi tidak sebelum Microsoft, pelabur utama syarikat tersebut juga mengumumkan bahawa mereka telah mengambil individu tersebut, bersama beberapa individu lain yang dipecat seperti Greg Brockman untuk mengetuai bahagian Kecerdasan Buatan yang baru dibangunkan di Microsoft.

Akan tetapi banyak laporan dan ura-ura yang berlegar dalam beberapa hari ini yang mengatakan bahawa Sam Altman masih lagi mahu mengetuai OpenAI, dan perbincangan telah berlaku, dengan Sam Altman mengatakan bahawa satu-satunya cara dia akan kembali ke syarikat tersebut ialah sekiranya lembaga pengarah syarikat tersebut ditukar sepenuhnya.

Sam Altman baru sahaja mengeluarkan ciapan di X yang mengatakan bahawa dia akan kembali ke OpenAI, berkemungkinan mengambil kembali jawatan CEOnya, bersama-sama dengan lembaga pengarah yang baharu dan juga sokongan penuh oleh CEO Microsoft, Satya Nadella.

Sama ada Satya Nadella mempunyai sebarang kata dalam keputusan disebalik rombakan lembaga pengarah OpenAI tidak diketahui lagi, tetapi memandangkan beliau sudahpun hadir dengan ciapannya sendiri mengenai kembalinya Sam Altman sebagai CEO OpenAI, kami pasti bahawa beliau sekurang-kurangnya mempunyai pengetahuan dalaman mengenai apa yang sedang berlaku di syarikat tersebut sekarang.

Greg Brockman, bekas presiden dan pengerusi lembaga pengarah OpenAI juga mengesahkan bahawa dia akan kembali ke OpenAI, kebarangkalian besar mengambil-alih semula jawatan-jawatan sebelumnya juga.

Dalam pada itu, OpenAI disahkan akan hadir dengan lembaga pengarah baharu, yang terdiri daripada mantan CEO Salesforce, Bret Taylor, mantan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Larry Summers dan pengasas Quora, Adam D’Angelo. Bret Taylor akan memegang jawatan pengerusi lembaga pengarah ini. Setakat ini ia tidak disahkan lagi sama ada Ilya Sutskever, Ketua Saintis di OpenAI masih lagi memegang jawatan sebagai sebahagian daripada lembaga pengarah syarikat tersebut ataupun tidak.

Sedang dikemaskini..

Komen