Cari @ Amanz

Jika anda peminat sistem imbasan cap jari Touch ID pada iPhone, anda mungkin tidak akan gembira dengan berita ini. Menurut laporan MacRumors yang memetik maklumat daripada Weibo, Apple tidak lagi menghasilkan cip tang diperlukan untuk Touch ID. Ia petanda jelas bahawa Apple tidak mempunyai perancangan untuk mengembalikan sistem biometri yang diperkenalkan pada iPhone 5S sedekad lalu.

Peranti baharu terakhir dengan Touch ID ialah iPhone SE Gen 3 yang dilancarkan tahun lalu. Dengan Face ID digunakan secara lebih meluas sekarang dan ura-ura iPhone SE akan menggunakan rekaan iPhone 15, tiada sebab untuk mengekalkan Touch ID pada iPhone. Sebelum ini terdapat ura-ura Apple mungkin mengembalikan Touch ID tetapi bawah skrin seperti pada peranti Android sekarang.

Secara peribadi kami merasakan Face ID adalah lebih daripada memadai. Kekurangannya ketika pandemik bukan lagi isu besar kerana sudah jarang memakai pelitup muka serta terdapat sistem nyahkunci dengan Apple Watch. Touch ID masih ditawarkan pada iPad dan komputer Mac sahaja sekarang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd