Konsert Coldplay di Kuala Lumpur minggu lalu mendapat perhatian ramai di media sosial. Ramai yang berpuas hati dengan ketibaan kugiran tahap antarabangsa ini dan ada juga pihak yang menentangnya atas sebab peribadi. Aku tak ingin menyentuh mengenai bagus ataupun tidak penganjuran konsert Coldplay kerana ia adalah subjektif. Sebaliknya aku akan menyentuh bagaimana teknologi membuatkan pengalaman konsert moden adalah beratus kali ganda lebih baik berbanding dua puluh tahun yang lalu.
Masa Zaman Pakcik Dulu..
Di penghujung 1990an serta masih lagi seorang pelajar universiti di UK, aku memang kerap menonton konsert. Rage Against The Machine, Slipknot, Pearl Jam, Oasis dan Travis adalah antara kumpulan muzik yang sempat aku tonton semasa aku (dan mereka) masih lagi agak mudah.
Namun begitu konsert yang terbaik pernah aku hadiri ialah Toxic Twin Towers Ball di stadium Wembley pada tahun 1999. Dengan hanya £28.50 (~RM170) aku menonton Stereophonics, The Black Crowes, Lenny Kravits dan Aerosmiths dalam satu festival muzik yang berlangsung sepanjang hari.
Beli Tiket
Aku mulakan dahulu dengan perkara pertama teknologi membuatkan pengalaman menonton konsert sekarang lebih bagus iaitu memudahkan pembelian tiket. Dahulu jika ingin menonton konsert, ia hanya boleh dibeli menerusi kedai fizikal atau di stadium konsert diadakan. Di London pada tahun 1999, aku biasanya membeli tiket daripada kedai Tower Records, Virgin Megastore atau HMV. Dari awal perlu pilih di mana hendak beli kerana pembelian secara atas talian sebelum millennium adalah sangat terhad.
Lepas lokasi dipilih, perlu pula beratur dari awal pagi bagi mendapatkan tiket yang dikehendaki. Jumlah tiket yang dijual di setiap stor juga terhad. Jika habis aku perlu pergi ke stor lain pula untuk mencuba nasib. Silap hari bulan sambutan terlalu luar biasa tiket habis di semua kedai dan aku hanya kehabisan duit membeli tiket kereta apai bawah tanah yang mahal.
Dengan sistem pembelian atas talian, proses membeli tiket sekarang jauh lebih mudah. Ada sistem menunggu giliran dan sementara itu orang ramai boleh menonton video, makan, minum atau santai di rumah. Tak perlu beratur panjang di bawah mentari panas atau cuaca beku berjam-jam lamanya. Sungguhpun begitu aku akur dalam kes Coldplay wujud penggunaan bot oleh ulat tiket yang menyebabkan ramai peminat sebenar berputih mata. Sehingga artikel ini ditulis dan Chris Martin bersama rakan-rakan sudahpun kembali pulang, tiada tindakan diambil SKMM ke atas ulat tiket seperti yang dijanjikan.
Perjalanan Ke Konsert
Pengalaman ke stadium sekarang juga lebih baik kerana sebarang kesesakan lalu lintas atau gangguan perkhidmatan pengangkutan awam akan dilaporkan terus ke media sosial. Maklumat apa yang boleh dibawa ke stadium pula dikongsi oleh media sosial pihak penganjur.
Dua puluh tahun yang lalu aku perlu membawa walkman dan mendengar laporan terkini daripada radio. Setiap konsert mempunyai stesen radio rasmi yang akan memberikan maklumat “terkini” yang tidak begitu terkini kerana hanya dilakukan setiap 30 minit sekali. Jika anda tidak bernasib baik, anda mungkin terlewat kerana ada gangguan operasi disebabkan oleh mogok buruh atau kerosakan kereta api.
Merakam Memori
Di konsert Coldplay, mereka yang tidak pergi dapat melihat apa yang berlaku di konsert semasa ia masih berlangsung. Video konsert diabadikan oleh ribuan penonton yang melakukan perkongsian di media sosial. Dengan telefon pintar moden tiada masalah melihat Chris Martin menyanyi walaupun duduk agak jauh kerana sistem zum optikal yang sangat bagus. Gambar yang diambil juga nampak cantik walaupun di waktu malam. Ribuan gambar dan puluhan video boleh dirakam dari sebuah telefon pintar.
Dua puluh tahun yang lalu terdapat banyak halangan untuk mengabadikan memori. Hanya kamera pakai buang atau kamera filem murahan dibenarkan. Kamera SLR diharamkan sama sekali daripada dibawa masuk ke dalam stadium atau tempat konsert diadakan. Kalau ada kamera sekalipun, jumlah gambar yang boleh dirakam juga terhad kepada sekitar 12, 24 atau 36 sahaja kerana had katrij filem.
Daripada 36 yang ditangkap, tidak semuanya boleh dipakai kerana mungkin imej bergegar, terlalu gelap, tidak di fokus dengan betul atau langsung tak menarik kerana tiada skrin LCD pada kamera filem sebelum gambar ditangkap. Tersalah tangkap atau kedai gambar melakukan kesilapan hilanglah semua memori yang cuba diabadikan.
Video pula mustahil kerana jika kamera SLR tak dibenarkan, membawa masuk kamera rakaman video lagilah tidak dibenarkan. Aku agak bernasib baik konsert Toxic Twin Towers Ball adalah antara yang terbesar pernah diadakan maka ada beberapa video daripadanya telah dimuat naik ke YouTube. Masalahnya ialah rakaman dilakukan dengan kamera VHD berkuasa rendah membuatkan persembahan serta kualiti audio adalah agak teruk.
Persembahan
Persembahan di era lewat 90an hanya ada lampu di pentas dan kadang kala ada letupan mercun untuk lagu tertentu. Untuk mewujudkan vibe yang menarik, kumpulan muzik akan meminta penonton menyalakan pemetik api. Zaman sekarang pemetik api dan produk tembakau diharamkan terus daripada dibawa masuk.
Pengalamannya jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan konsert moden yang mempunyai gelang tangan yang menyala selari dengan muzik yang dimainkan. Sistem lampu juga lebih canggih.
Kualiti audio juga lebih baik sekarang kerana penambahbaikan pada sistem mikrofon dan speaker. Jika duduk berjauhan daripada pentas sekalipun, audio masih dapat didengari dengan jelas. Jurutera audio sekarang menala muzik bagi memastikan majoriti penonton dapat menikmati konsert dengan audio memuaskan tidak kira di mana mereka duduk.
Teknologi menjadikan pengalaman konsert moden berkali ganda lebih berbanding hanya satu generasi yang lalu. Tetapi satu kelebihan konsert dahulu pada pendapat aku ialah tiada gangguan daripada telefon pintar.
Dahulu jika pergi ke konsert aku akan cuba menikmati persembahan dari awal hingga akhir dengan hanya beberapa gambar diambil. Melihat video konsert Coldplay di media sosial, sepanjang masa telefon pintar dapat dilihat dengan penonton memberikan tumpuan untuk merakam video bukannya menikmati persembahan secara langsung yang jarang dapat dinikmati.
Jadi konsert generasi mana sebenarnya lebih baik? Dari pandangan seorang pakcik aku boleh katakan konsert moden adalah lebih baik dari segi kemudahan membeli tiket, mendapatkan maklumat dan kualiti hiburan yang boleh dinikmati. Kelebihan konsert lama hanyalah harga yang JAUH lebih murah. Integrasi teknologi memang membuatkan pengalaman lebih baik tetapi turut menyebabkan kos operasi lebih tinggi menyebabkan harga tiket juga semakin melampau.
Apakah agaknya teknologi di masa hadapan yang akan mengubah pengalaman konsert generasi seterusnya? Usulkan pendapat anda di ruangan komen.