SHARGE adalah pengeluar aksesori kuasa seperti kabel, pengecas dan powerbank yang memfokuskan kepada rekaan unik seperti bertemakan retro atau lutsinar dan menjualnya pada harga yang mahal berbanding pesaing. Powerbank Shargeek 100 mereka yang bernilai RM1099 menjadi powerbank kegemaran saya dan kini berada di dalam beg setiap hari. Terbaru, mereka telah melancarkan tiga lagi produk. Kali ini bertemakan sains fiksyen pula iaitu berdasarkan gajet dalam filem The Wandering Earth II.

Internet Hostkey Power Bank (130W/40W)
Di dalam filem The Wandering Earth II, Internet Hostkey adalah gajet yang menyimpan 30,000 kata laluan rawak sebagai kunci untuk “enjin bumi” agar planet boleh terbang mencari orbit baharu. SHARGE mencipta semula prop filem ini dalam bentuk powerbank dengan kuasa 130W dan 40W. Ia terdapat tiga port iaitu 2x USB-C dan 1x USB-A yang menyokong pengecasan tiga peranti serentak atau satu peranti pada kadar pengecasan 100W.

Skrin LED merah yang panjang terbina pada powerbank in boleh memaparkan status pengecasan lebih 1000 peranti serta memaklumkan pengguna kuasa input dan output yang keluar/masuk. Turut terbina adalah butang GENERATE yang boleh menjana kata laluan rawak sama seperti di dalam filem. Kabel USB-C turut sedia terbina pada powerbank ini. Internet Hostkey Power Bank akan dijual di Malaysia pada harga RM999 untuk versi 130W dan RM499 untuk versi 40W.

Space Elevator Magnetic Power Bank
Di dalam filem Space Elevator adalah lif yang membawa manusia dari bumi ke angkasa. Edisi powerbank ini menggunakan rekaan yang lebih kurang sama tetapi dalam saiz yang kompak. Ia juga merupakan powerbank magnetik untuk sokongan magnet MagSafe pada iPhone dan Qi pada peranti Android.

Disebabkan ia bukan pengecas yang menyokong piawaian pengecasan MagSafe, ia hanya menyokong pengecasan nirwayar 7.5W sahaja sementara pengecasan berwayar USB-C pula sehingga 20W. Kapasiti bateri yang digunakan adalah 5200mAh dengan rekaan dwi-sel dan akan dijual pada harga RM229.
MOSS Charger 40W
MOSS adalah sistem AI di dalam filem The Wandering Earth II yang menyebabkan krisis Lunar Fall Crisis 2058. SHARGE menggunakan rekaan sama robot AI ini menjadikannya sebagai pengecas GaN 40W yang menyokong piawaian PD, QC, FCP, SCP, PPS, Apple 2.4A dan banyak lagi. Ia mempunyai 1x port UBS-A dan 1x port USB-C untuk sokongan pengecasan dua peranti serentak.

MOSS Charger turut mempunyai cip pemprosesan tersendiri bagi mengawal suhu pengecas yang memantau suhu sehingga 100,000 kali sehari agar peranti tidak mengalami masalah memanas. SHARGE menjami iPhone 8 ke iPhone 15 boleh dicas dari 0% ke 50% dalam masa 30 minit. Pengecas ini turut mempunyai cagak untuk dipasang di bawah meja menjadikannya seakan robot AI yang sentiasa memantau segala benda. Ia akan dijual pada harga RM299.
Setiap pengecas dan powerbank SHARGE edisi The Wandering Earth II ini akan dijual di Lazada Flagship Store dan laman web rasmi SHARGE bermula 1 Disember ini. Jika anda ingin tahu adakah berbaloi atau hebat mana powerbank dan pengecas yang mereka jual, sila klik pautan di bawah untuk ulasan Shargeek 100 serta beberapa produk mereka yang lain.