Cari @ Amanz

Sebelum saya bekerja di Amanz, saya pernah menjadi penjual pelbagai aksesori telefon dan antara yang ramai beli adalah powerbank, pengecas dan kabel. Jadi banyak jenis produk-produk ini telah saya uji dan fahami mengenai kebaikan dan keburukannya. Cuma sejak kebelakangan ini saya tidak lagi mengikuti perkembangan lambakan aksesori yang berada di pasaran lebih-lebih lagi powerbank.

Ini kerana saya sudah jarang menggunakan powerbank selepas menggunakan lebih daripada dua peranti. Setiap kali iPhone saya kehabisan bateri saya akan caj dengan pengecas dan menggunakan Nothing pula, kemudian jika ia habis lagi bateri saya akan hidupkan OnePlus pula kerana setiap peranti ini sudah ada WhatsApp dengan peranti terpaut untuk memudahkan saya. Tetapi saya mula mengubah tabiat ini selepas menggunakan Shargeek 100, sebuah powerbank berkuasa yang bernilai RM1099.


SPESIFIKASI DAN REKAAN

Shargeek 100 (Storm²)
Kapasiti Bateri25,600mAh
93.5Wh
Port Sambungan2x USB-C
1x USB-A
1x DC
Piawaian PengecasanUSB-C1: PD, PPS, QC4
USB-C2: PD, PPS, Apple 2.4A, QC2.0/3.0/4+, AFC, FCP, SCP, MTK-PE
USB-A: Apple 2.4A, QC2.0/3.0, AFC, FCP, SCP, MTK-PE
Kuasa InputUSB-C1: 5V/9V/12V/15V⎓3A, 20V⎓5A
DC:5~24V⎓3A
Kuasa OutputUSB-C1: 5V/9V/12V/15V⎓3A; 20V ⎓5A; 3~21V⎓5A
USB-C2:5V/9V⎓3A, 12V⎓2.5A, 15V⎓2A, 3.3~11V⎓3A, 3.3~16V⎓2A
USB-A: 5V⎓3A, 9V⎓2A, 12V⎓1.5A
USB-C2+USB-A: Maks 30W
USB-C1/DC+USB-C2+USB-A: Maks 65W+30W / Maks 75.6W+30W
DC (boleh laras):3.3~25.2V⎓3A
SkrinAda
KeunikanSistem semak suhu, paparan status pengecasan, pemasa
Rekaan lutsinar
Mesra PesawatYa
Harga JualanRM 1,099

Shargeek 100 atau nama sebelumnya adalah Storm² merupakan sebuah powerbank dengan rekaan lutsinar yang majoritinya diperbuat daripada plastik. Ia memaparkan komponen dalaman termasuk semua cip-cip dan bateri Li-ion yang disusun rapi, pateri yang kemas serta gam-gam yang tidak comot. Ia adalah apa yang saya bayangkan jika Nothing hadir dengan powerbank tersendiri selepas Power (1) dibatalkan cuma tiada sistem lampu Glyph.

Walaupun begitu, Shargeek 100 ini ada skrin IPS kecil berwarna yang boleh memaparkan bukan sahaja status bateri tetapi proses pengecasan, kuasa yang keluar masuk, suhu powerbank, serta sistem tetapan mengawal kuasa DC dan masa skrin menyala. Kapasiti bateri 25,600mAh yang digunakan turut mesra pesawat. Menurut garis panduan had saiz powerbank yang dibenarkan pada waktu ini ialah 100 Wh/ 27,000 mAh.

Menjadikan powerbank ini adalah aksesori kegemaran saya adalah sokongan pelbagai piawaian pengecasan pantas seperti Power Delivery PPS, Samsung Adaptive Fast Charging, MediaTek Pump Express, Huawei SuperCharging Protocol dan Qualcomm Quick Charge sehingga versi 4.0+.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Semasa cara SXSW di Australia bulan Oktober lalu, saya membawa powerbank ini dan ia telah memudahkan saya mengecas iPhone 13 Pro, Tecno Phantom V Flip, Apple Watch Ultra dan juga mampu mengecas laptop Huawei Matebook 14s saya dengan mudah dan pantas. Powerbank ini dilengkapi dengan 1x port DC, 1x port USB-A dan 2x port USB-C yang masing-masing ada piawaian pengecasan berlainan memberi fleksibiliti kepada saya untuk mengecas pelbagai jenis peranti serentak.

Saya amat suka skrin IPS berwarna ini kerana mampu memaparkan informasi yang selama ini tidak pernah saya hiraukan tetapi kini memberi manfaat kepada saya. Setiap informasi terpapar adalah satu pengetahuan baharu yang saya pelajari seperti kuasa pengecasan yang keluar masuk, membuktikan kuasa pengecasan yang pengeluar peranti mendakwa disokong pada peranti mereka atau juga suhu bateri ketika sedang mengecas sesebuah peranti.

Skrin ini juga bukan sekadar skrin kerana boleh dikawal oleh saya untuk mengubah format suhu, kuasa DC atau masa skrin menyala dan pada masa yang sama turut boleh melihat status bateri dengan lebih butiran. Saya rasakan ini adalah powerbank paling canggih pernah saya gunakan dengan rekaan yang paling menarik dan paling penting sekali nampak cool.

Isu utama saya dengan powerbank ini pertama adalah ia tidak menyokong piawaian pengecasan SuperVOOC untuk peranti OnePlus atau Oppo. Kemudian susunan port sambungan yang tidak teratur membuatkan saya sakit mata serta menyukarkan sambungan kepada kabel yang tebal. Biasanya powerbank atau pengecas mempunyai susun atur port yang melintang atau menegak agar mudah untuk menyambungkan banyak kabel sekali gus.

Saya turut mengalami satu lagi masalah serius, iaitu berat powerbank ini yang mencapai lebih setengah kilogram iaitu 591.3 gram. Walaupun telah menggunakan beg yang selesa, apabila Shargeek 100 berada di dalam beg saya boleh rasa beratnya yang membebankan. Powerbank paling berat yang pernah saya gunakan sebelum ini adalah Xiaomi 10000 mAh Mi Wireless Power Bank yang berharga sekitar 10 kali ganda lebih murah.

Akhir sekali adalah masalah yang sama saya alami pada Nothing Ear (1), (stick) dan (2) di mana plastik lutsinar ini yang mudah calar serta menangkap kotoran cap jari. Walaupun Shargeek telah memberikan beg simpanan fabrik dengan setiap pembelian, calar masih berlaku kerana bergesel dengan kabel.

APA LAGI SHARGE ADA?

Jika anda tertanya ada atau tidak alternatif powerbank lain yang mempunyai ciri lebih kurang sama tetapi pada harga lebih mampu milik? Jawapannya, ada! Sharge Capsule Gravity yang berharga RM299. Ia bukan sekadar powerbank biasa dengan rekaan lutsinar tetapi turut boleh menjadi jam pasir digital dengan sensor graviti, boleh menjadi timer, pomodoro dan bersaiz kompak.

Sudah alang-alang menggunakan powerbank jenama ini, saya turut menggantikan pengecas UGREEN 100W GaN yang saya uji sebelum ini kepada Sharge 100W Pro GaN yang juga berharga RM299. Ia menggunakan rekaan yang nipis, tidak begitu tebal, mempunyai 3x port USB-C + 1x port USB-A serta mempunyai sistem kawalan pemanasan dan menyokong pengecasan pantas PD PPS.

Saya menggunakan pengecas ini bersama-sama dengan kabel UGREEN serta kabel Sharge sendiri yang masing-masing menyokong pengecasan 100W. Apa yang membuatkan saya menyukainya adalah palam kuasa dua pin leper yang boleh dilipat untuk mudah disimpan serta mudah disambungkan kepada penyesuai palam negara lain.

Akhir sekali adalah pengecas Retro 35W GaN Charger yang comel dan kelihatan seakan Mac lama. “Skrin” dengan senyuman ini adalah pelekat yang boleh ditukar dengan pelbagai tema lain serta warna yang menyala itu berubah mengikut kadar pengecasan seperti merah perlahan, kuning biasa, hijau dan biru semakin laju. Pengecas ini berharga RM199 dan ia adalah satu aksesori unik yang hanya mencantikkan meja saya.

KESIMPULAN

Selepas menyemak baki bank saya, saya menyedari yang ini bukanlah powerbank yang saya boleh miliki sendiri. Saya amat bertuah kerana kerja saya yang membenarkan saya menguji pelbagai gajet menarik seperti ini. Selepas bertahun meniaga pelbagai jenis powerbank dan sudah lama tidak menggunakannya, saya menyedari yang Shargeek 100 ini adalah powerbank yang menawan khusus untuk golongan bangsawan sahaja.

Jika anda tidak menghiraukan informasi suhu bateri, kuasa pengecasan keluar dan masuk atau status pengecasan powerbank ini bukan untuk anda. Ini kerana RM1,099 bukanlah nilai kecil dan terdapat powerbank lain yang boleh melakukan fungsi pengecasan yang sama dengan kapasiti bateri sama pada harga mungkin 50% lebih murah.

PRO

  • Rekaan unik dan menawan.
  • Skrin yang membantu peminat teknologi.
  • Menyokong banyak piawaian pengecasan pantas.
  • Mudah digunakan dengan satu klik pada butang yang taktil.

KONTRA

  • Bahan binaan plastik lutsinar mudah calar dan menangkap kotoran cap jari.
  • Agak berat, lebih 500 gram seunit.
  • Susun atur port pengecasan yang serabut.
  • Harga yang terlampau mahal untuk sebuah powerbank.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd