Jarang sekali saya mengulas produk dalam bentuk ekosistem kerana lazimnya ia jatuh ke tangan Fahim. Tetapi tahun ini Ugreen yang mengeluarkan ekosistem pengecasan telah melancarkan beberapa produk yang saya rasakan amat terlalu menarik untuk tidak dicuba. Maka ini ialah ulasan saya untuk Ugreen Nexode 300W USB-C GaN Charger, Ugreen 100W | 25000mAh for Laptop-3 Ports Power Bank dan Ugreen Foldable Kickstand Magnetic Battery.
Ugreen Nexode 300W USB C GaN Charger

SPESIFIKASI
Kuasa Maksimum | 300W |
Port Sambungan | 4x USB-C 1x USB-A |
Piawaian Pengecasan | PD 3.1 QC 3.0 |
Kuasa Input | 100-240 V, 50/60 Hz, 4A max |
Kuasa Output | USB-C1 : 5/9/12/15 V, 3 A; 20/28 V, 5A – 140 W max USB-C2 :5/9/12/15 V, 3 A; 20V, 5A – 100 W max USB-C3 : 5/9/12/15 V, 3 A; 20V, 5A – 100 W max USB-C4 : 5/9/12/15 V, 3 A; 20V, 2.25A – 45 W max USB-A : 5 V/3A, 9V/2A, 10V/2.25 A, 12V/1.5A – 22.5 W max |
Berat | 868 gram |
Aksesori disertakan | Kabel USB-C ke USB-C 240W |
Harga Jualan | RM 699 |
Pengecas Nexode ini ialah bintang di antara tiga produk yang dikeluarkan. Ia juga merupakan pengecas GaN paling berkuasa pernah tiba di makmal Amanz dengan kuasa keseluruhan mencapai 300W. Terdapat lima port pengecas kesemuanya iaitu empat USB-C dan satu USB-A. Kuasa output tertinggi ialah 140W pada port USB-C teratas.

Kelima-lima boleh digunakan serentak menjadikannya pengganti kepada membawa papan soket multi kepala apabila pergi bercuti. Format pengecasan yang disokong ialah PD 3.1 dan QC3.0. Sebagai penulis di Amanz, membawa papan soket multi kepala apabila pergi bertugas ke luar negara adalah satu kebiasaan. Kerap kali kerana saya hanya mempunyai hanya satu penyesuai (adapter) kepala palam yang menyukarkan proses mengecas pelbagai peranti elektronik yang perlu dibawa.

Baru-baru ini saya pergi ke Bali dan satu Nexode 300W menggantikan keperluan untuk saya membawa papan soket dan juga lima kepala pengecas berasingan. Memang saya aku Nexode 300W adalah agak berat tetapi ia masih lebih ringan dan bersaiz kompak menjimatkan ruang berbanding membawa lima kepala pengecas dan sepapan soket dengan lima palam elektrik.
REKAAN
Rekaan tubuh Nexode 300W juga teguh dengan kemasan tidak berkilat. Jika anda pernah membeli produk Ugreen sebelum ini, kemasan warna kelabu seakan logam yang sama digunakan pada tubuh Nexode 300W. Di bahagian bawahnya terdapat dua tapak kaki dengan pelapik getah. Pelapik ini memastikan permukaan meja tidak akan mengalami kerosakan kerana pengecas yang agak berat ini.

Rekaan tubuh Nexode 300W juga teguh dengan kemasan tidak berkilat. Jika anda pernah membeli produk Ugreen sebelum ini, kemasan warna kelabu seakan logam yang sama digunakan pada tubuh Nexode 300W. Di bahagian bawahnya terdapat dua tapak kaki dengan pelapik getah. Pelapik ini memastikan permukaan meja tidak akan mengalami kerosakan kerana pengecas yang agak berat ini.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Pengalaman pengecasan adalah amat memuaskan. Saya mengecas powerbank 25,000 mAh Ugreen yang boleh dicas semula pada kuasa 65W. Sepanjang waktu pengecasan sekitar 120 minit, tubuh Nexode 300W tidak menjadi panas. Sekadar suam-suam sahaja seperti suhu pengecas biasa. Apabila lima peranti dicas serentak – sebuah MacBook Air M2, iPad M1, iPhone 15, Samsung Galaxy Z Fold5 dan Apple Watch 6 – suhu juga tidak meningkat dengan melampau.

Hanya panas sedikit daripada mengecas satu peranti serentak. Tiada isu terasa seperti tangan terbakar seperti pengalaman saya menggunakan beberapa pengecas kuasa tinggi sebelum ini.
Satu-satunya isu bagi saya ialah ia seberat 868 gram. Jika terjatuh ke atas kaki memang akan menyebabkan kecederaan. Maka berhati-hatilah apabila meletakkannya di atas meja takut kabel tertarik sebelum terjatuh menyebabkan bukan sahaja kecederaan tetapi kerosakan pada lantai.
KESIMPULAN
PRO
- Kuasa output tinggi sehingga 300W.
- Lima port pengecasan membolehkan banyak peranti dicas serentak.
- Tidak memanas.
- Saiz kecil untuk jumlah port dan kuasa yang ditawarkan.
KONTRA
- Harga agak mahal.
- Berat.

Ugreen 100W | 25000mAh for Laptop-3 Ports Power Bank

SPESIFIKASI
Kapasiti Bateri | 25,000mAh 90Wh |
Port Sambungan | 2x USB-C 1x USB-A |
Piawaian Pengecasan | PD 3.0 QC 3.0 |
Kuasa Input | 65W max |
Kuasa Output | USB-C1 : 5/9/12/15 V, 3 A; 20/V,5A – 100W max USB-C2 : 5/9/12/15 V, 3 A; 20V, 2.25A – 45W max USB-A : 5V/3A, 9V/2A, 12V/1.5A – 18 W max |
Skrin | LCD |
Aksesori | 1x Beg simpanan baldu 1x Kabel USB-C ke USB-C 100W |
Mesra Pesawat | Ya |
Berat | 500g |
Harga Jualan | RM 360 |
Seterusnya pula ialah Ugreen 100W | 25000mAh for Laptop-3 Ports Power Bank yang juga adalah powerbank dengan kapasiti terbesar pernah saya ulas. Sedikit lebih kecil kapasitinya berbanding dengan Shargeek 100 yang diulas oleh Fahim beberapa minggu lalu. Seperti Shargeek, powerbank ini boleh dibawa masuk ke dalam kapal terbang tanpa sebarang isu. Dengan kapasiti 25,000 mAh dan ouput kuasa maksimum 100W, pelbagai jenis peranti termasuk komputer riba boleh dicas olehnya.

Kemasan tubuh sama seperti Nexode dengan badan plastik mempunyai kemasan hitam serta kelabu yang tidak berkilat. Memang powerbank ini agak berat mencecah 500 gram. Apabila disimpan dalam beg boleh dirasakan kehadirannya dalam beg sandang.
Powerbank mempunyai satu pengecas USB-C 100W, satu USB-C 45W dan satu USB-A 18W. Jika ketiga-tiga port digunakan, hanya satu port USB-C mengecas pada kuasa penuh 100W manakala dua port yang lain dihadkan ke 15W sahaja. Format pengecasan yang disokong adalah PD3.0 dan QC3.0 yang disokong majoriti peranti elektronik di pasaran.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Kerana output 100W, ia boleh mengecas sebuah MacBook Pro M2 yang hanya memerlukan kuasa 90W. Apabila sedang mengecas, skrin LCD pada sisi tubuh akan menunjukkan tahap caj yang masih tersimpan. Sebuah butang plastik pula boleh ditekan untuk melakukan perkara yang sama apabila ia tidak sedang digunakan.

Pek bateri tidak memanas apabila sedang mengecas. Ia mengecas dengan cemerlang sama seperti Nexode 300W di atas cuma pada output yang lebih rendah. Kapasiti yang besar membolehkan ia mengecas sebuah iPhone 15 Pro Max atau Samsung Galaxy S23 Ultra sehingga empat kali sebelum perlu dicas semula.
Walaupun berkapasiti 25,000 mAh, jumlah pengecasan yang boleh dilakukan tidak sampai 5X5000 mAh kerana kehilangan kuasa kerana rintangan elektrik. Proses mengecasnya semula amatlah pantas sekitar 120 minit sahaja menggunakan pengecas 65W.
KESIMPULAN
PRO
- Kuasa output tinggi sehingga 100W boleh mengecas komputer riba.
- Kapasiti besar 25,000 mAh.
- Tidak panas ketika mengecas.
- Boleh dicas semula dengan pantas.
- Selamat dibawa dalam kapal terbang.
KONTRA
- Agak tebal.
- Agak berat.

Ugreen Foldable Kickstand Magnetic Battery

SPESIFIKASI
Kapasiti Bateri | 10,000mAh 37Wh |
Port Sambungan | 1x USB-C 1x USB-A |
Piawaian Pengecasan | PD 3.0 QC 3.0 Qi |
Kuasa Input | 20W max |
Kuasa Output | USB-C1 : 5/9/12/15 V, 3 A; 20/V,5A – 100W max USB-A : 5V/3A, 9V/2A, 12V/1.5A – 18 W max |
Skrin | Tiada |
Aksesori | 1x Kabel USB-C ke USB-C |
Mesra Pesawat | Ya |
Berat | 225g |
Harga Jualan | RM 199 |
Akhir sekali ialah Ugreen Foldable Kickstand Magnetic Battery yang merupakan sebuah powerbank dengan kapasiti 10,000 mAh dan menyokong pengecasan nirwayar Qi secara terbina. Saiznya adalah kecil dengan sistem magnet MagSafe di belakang. Sungguhpun begitu ia tidak melepasi piawaian MFI maka pengecasan nirwayar terhad kepada 7.5W dan bukannya 15W seperti pengecas MagSafe sebenar.
Rekaannya sama sahaja dengan dua produk di atas. Maka tiada isu mengumpul cap jari serta nampak premium. Terdapat tongkat di belakang yang boleh dikeluarkan dari tempat simpanan supaya perangi boleh dicas secara nirwayar ketika menonton video secara menegak atau mendatar.

Sambungan magnet MagSafe di belakang powerbank ini adalah agak kuat. iPhone 14 Pro Max yang saya gunakan melekat kemas tanpa terasa ia akan terjatuh. Ini dibantu oleh powerbank ini yang agak ringan walaupun mempunyai kapasiti 10,000 mAh. Selain pengecasan nirwayar Qi, terdapat port pengecasan USB-C dan USB-A pada bahagian sisi tubuh.
Pengecasan Qi adalah sehingga 15W manakala pada USB-C adalah sehingga 20W dan USB-A pula sehingga 22.5W. Dari segi output ia adalah agak rendah jika dibandingkan dengan powerbank Ugreen 100W | 25000mAh di atas tadi. Dalam kegunaan biasa saya mendapati powerbank boleh mengecas iPhone 14 Pro Max hampir dua kali dan Samsung Galaxy S23 Ultra sekali sahaja secara berwayar. Jika pengecasan Qi digunakan, jumlah pengecasan yang boleh dilalukan adalah lebih rendah.

Proses pengecasan semula powerbank pula mengambil masa sekitar tiga jam kerana hanya mengecas semula pada kuasa maksimum 20W. Agak canggung melihat powerbank Ugreen 10,000 mAh ini memerlukan lebih banyak masa untuk dicas semula berbanding powerbank 25,000 mAh juga keluaran mereka.

Di antara ketiga-tiga produk ekosistem Ugreen yang diulas dalam artikel ini, Ugreen Foldable Kickstand Magnetic Battery adalah produk yang paling saya tidak boleh sarankan kerana pengecasannya yang perlahan. Setelah menikmati pengecasan pantas pada powerbank 25,000 mAh, saya tidak boleh kembali ke format pengecasan perlahan. Jika diberikan pilihan belilah powerbank 25,000 mAh dan kemudian beli juga Ugreen Nexode 300W untuk mengurangkan keperluan membawa soket elektrik dan kepala pengecas yang banyak ketika bercuti.
KESIMPULAN
PRO
- Ringan dan bersaiz kecil.
- Terdapat tongkat terbina.
- Sokongan pengecasan nirwayar Qi.
- Sambungan magnet yang kuat.
KONTRA
- Pengecasan hanya sehingga 22.5W.
- Pengecasan semula powerbank perlahan mencecah tiga jam.

Anda boleh membeli ketiga-tiga produk ini menerusi pautan di bawah.