Penantian selama empat tahun pelanggan Tesla Cybertruck berakhir awal pagi tadi selepas beberapa kenderaan awal mula diberikan kepada pelanggan yang melakukan tempahan pada tahun 2019. Trak elektrik pertama Tesla ini ditawarkan dalam tiga model iaitu asas, pacuan empat roda dan juga Cyberbeast.

Perbezaan antara model terletak pada konfigurasi motor, kapasiti bateri, jarak perjalanan dan prestasi yang lebih tinggi. Dalam acara yang berlangsung pagi tadi, Tesla sekali menunjukkan kemampuan tubuh besi tahan karat Cybertruck yang kalis peluru serta mempunyai prestasi memecut lebih pantas berbanding sebuah Porsche 911. Porsche 911 telah dikalahkan oleh sebuah Cyberbeast yang sedang menarik sebuah lagi Porsche 911 di belakangnya.

Walaupun penantian selama empat tahun untuk Cybertruck berakhir. Pelbagai janji asal Tesla tidak ditepati. Harga Cybertruck kini bermula $60,990 yang lebih mahal berbanding harga asal $39,900. Untuk Cyberbeast misalnya, harga trak super ini mencecah $99,990 sebuah.

Secara keseluruhan prestasi jarak perjalanan Cybertruck sebenar juga lebih rendah hanya 547km berbanding janji asal 800km. Tesla ada menjual pek bateri tambahan untuk menambah jarak operasi sehingga 756km tetapi ia mengambi 1/3 ruang kargo di bahagian belakang trak.

Adakah Cybertruck juga akan memasuki pasaran Malaysia kelak? Cybertruck telahpun disenaraikan di laman rasmi Tesla tetapi tiada butang untuk pesanan. Setakat ini hanya Model 3, Model Y dan Cybertruck sahaja model yang dipaparkan.