Google dan Epic Games kini dalam perbicaraan saman menyaman berikutan aplikasi Fortnite diharamkan daripada Play Store. Activision Blizzard telah diseru dan satu perkara menarik telah didedahkan iaitu mereka pernah mempunyai perancangan bagi hadir dengan gedung aplikasi memfokuskan permua tersendiri bagi bersaing dengan Google.

Rancangan pertama adalah mereka ingin bekerjasama dengan Epic Games dan juga Supercell (pembangun Clash of Clans) untuk menawarkan aplikasi daripada laman web khas. Pengguna kemudian boleh mengemaskini, melakukan belian atas aplikasi dan banyak lagi melalui gedung ini. Kedua adalah untuk hadir dengan gedung seakan Steam untuk telefon pintar dengan hanya mengecas pengedar/penerbit aplikasi 10%-12% berbanding Google yang mengecas 30%.

Activision Blizzard turut ada perancangan untuk hadir dengan gedung pada iPhone. Projek ini dinamakan sebagai Project Boston, yang sepatutnya dilancarkan pada tahun 2019 atau 2020. Tetapi projek ini tidak diteruskan kerana tidak membawa pendapatan yang baik. Mereka kemudian melakukan perjanjian bersama Google dengan nilai melangkaui lebih $100 juta untuk menawarkan kebanyakan permua terus ke Play Store.