Carian
Jam
Jam G-SHOCK X Rich Brian Diumumkan Pada Harga RM675
December 4, 2023 Effi Saharudin

Selain melancarkan jam tangan G-Shock edisi karbon sempena ulang tahun ke-40, Casio turut mengumumkan pelancaran jam tangan G-SHOCK X Rich Brian yang merupakan hasil kerjasama mereka dengan syarikat rakaman 88rising. Jam ini adalah berasaskan GA-2100 dengan tubuh serta tali berwarna biru busa laut dengan kemasan berwarna merah jambu.

Kombinasi warna dan rekaan ini dipilih oleh Rich Brian kerana mengingatkan beliau kepada gitar yang pernah beliau gunakan semasa membesar. Sebagai pemuzik, rekaan ini akan mengingatkan. beliau kepada asal usul membesar di Indonesia sebelum mengembangkan kerjaya sebagai penyanyi rap di Amerika Syarikat selepas lagi Dat $tick beliau tular di atas talian.

Jam ini boleh dibawa menyelam sehingga 200 meter serta mempunyai ketahanan standard yang sinonim dengan jenama G-Shock. Ciri pemasa, jam randik, menyimpan 31 zon waktu dan sistem lampu Super Illluminator turut disertakan. Bateri jam boleh bertahan sehingga tiga tahun sebelum perlu diganti. Casio G-SHOCK X Rich Brian dijual di Malaysia pada harga RM675 seutas bermula 15 Disember depan.

Komen