Cari @ Amanz

Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini semakin pesat dan dilihat mengubah banyak aspek kehidupan moden seperti membuatkan mengancam beberapa kerjaya. Terkini modul AI baharu Animate Anyone diperlihatkan dengan ia boleh menghasilkan video animasi dengan hanya memberikan sebuah imej pegun.

Ia dibangunkan oleh Alibaba Group’s Institute for Intelligent Computing yang memanfaatkan sokongan teknologi penjanaan atau generatif. Ia juga boleh digunakan untuk pelbagai objek termasuk manusia dan kartun dengan hasil video yang berkualiti, jelas dan stabil. Melalui pengujian, Alibaba dilihat memberi tumpuan kepada beberapa hal tertentu termasuk pergerakan tarian yang kompleks.

Secara teknikalnya terdapat tiga komponen utama digunakan dalam teknologi ini merangkumi RefenrenceNet yang direka untuk menggabungkan ciri terperinci sambil mengekalkan butiran dari imej rujukan. Diikuti dengan Pose Guider untuk kawalan pergerakan watak lebih realistik selari dengan gaya dikehendaki dan Temporal Layer pula untuk peralihan animasi yang lancar dalam bingkai video.

Dalam demo yang diperlihatkan, data tarian video di TikTok telah digunakan dalam melatih model ini. Sebarang tarian di TikTok boleh dihasilkan semula oleh Animate Anyone menggunakan sebarang imej pegun yang dipilih. Antara penggunaannya di dunia sebenar ialah menghasilkan animasi model memperagakan baju di kedai-kedai atas talian.

Pada masa ini tiada laman khusus yang membolehkan Animate Anyone digunakan oleh semua tetapi terdapatnya repositori di Github bagi mereka yang berminat mencubanya. Teknologi ini dianggap menarik tetapi tentunya perlu dilakukan secara bertanggungjawab bagi mengelakkan penyebaran kandungan tidak sepatutnya yang boleh memanipulasikan sentimen dalam masyarakat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd