Cari @ Amanz

NVIDIA pada waktu ini ialah syarikat yang lebih dikenali sebagai pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) yang paling terkemuka di dunia sehingga berjaya menenggelamkan imej mereka sebelum ini sebagai sekadar pengeluar GPU permainan video. Di acara yang berlangsung di Singapura hari ini, CEO NVIDIA Jensen Huang berkata syarikat beliau pada waktu ini melihat Huawei, Intel dan beberapa syarikat rintis sebagai pesaing hebat mereka dalam pengeluar cip AI.

Walaupun dikenakan sekatan teknologi, Huawei kembali dengan garang tahun ini dengan cip Kirin rekaan sendiri sehingga mengejutkan Amerika. Cip AI 910B Ascend pula dibeli oleh Beidu sebagai persediaan untuk menggantikan cip keluaran NVIDIA dengan China juga kini melakukan pelaburan besar untuk membangunkan industri cip tempatan.

Sejak hubungan antara China dan Amerika semakin dingin tiga tahun lalu, pelbagai sekatan teknologi khususnya dalam pengeksportan cip AI telah diperkenalkan oleh Amerika. Ia memaksa NVIDIA untuk menghasilkan cip khusus untuk pasaran China dengan prestasi yang dikurangkan. Semalam Setiausaha Perdagangan Amerika, Gina Raimondo mengeluarkan amaran kepada NVIDIA supaya tidak cuba mencari jalan memintas halangan yang telah dikenakan. Menurut beliau sebarang usaha menghasilkan cip AI baharu berasaskan cip terkini untuk pasaran China akan turut dimasukkan ke dalam senarai.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd