Cari @ Amanz

Dengan pengumuman model terkini Gemini sebentar tadi, Google turut mengumumkan peranti Pixel 8 Pro akan menerima kemas kini bagi menawarkan model Gemini Nano tersedia pada peranti. Model ini mungkin yang paling kecil jika dibandingkan dengan Gemini Ultra dan Gemini Pro tetapi masih cukup berguna bagi memberikan kemampuan AI tersedia pada peranti.

Pixel 8 Pro menjadi pilihan kerana terdapat cip Tensor G3 yang tugasnya khusus untuk menjalan AI. Dengan Gemini Pro tersedia pada peranti, pelbagai kemampuan AI boleh dilakukan walaupun tanpa capaian internet. Ini kali pertama kami lihat ketika menghadiri pelancaran Snapdragon 8 Gen 3 di Hawaii pada Oktober lalu. Pada peranti di reruai, model Llama-2 oleh Meta telah digunakan secara tersedia dalam peranti.

Bercakap mengenai Snapdragon, wakil Google dalam sidang media yang berlangsung awal pagi semalam mengatakan Gemini Nano boleh dijalankan pada peranti yang mempunyai teras Tensor terbina pada NPU seperti Snapdragon 8 Gen 3.

Pada waktu ini Gemini Nano pada Pixel 8 Pro disokong dalam ciri Summarize dalam aplikasi Recorder dan Smart Reply dalam Gboard. Google mengesahkan lebih banyak ciri baharu akan diperkenalkan pada Pixel 8 Pro kelak dengan ia menggunakan kemampuan Gemini Nano di masa akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd