Carian
Snapdragon 8 Gen 3 – Apakah Sebenarnya AI Tersedia Pada Peranti?
November 6, 2023 Effi Saharudin

Kecerdasan buatan (AI) tersedia pada peranti akan menjadi terma hangat dalam bulan-bulan mendatang khususnya pada peranti yang menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3. Mungkin ramai masih lagi kurang jelas dengan apakah yang dimaksudkan dengan AI “tersedia” dan apakah bezanya dengan AI yang boleh diakses sekarang. Kami bernasib baik kerana semasa di Snapdragon Summit sempat mencuba beberapa demo AI tersedia pada peranti yang akan digunakan secara lebih meluas kelak.

AI Generatif Fast Stable Diffusion

Demo yang paling menakjubkan kami lihat ialah Stable Diffusion pada sebuah telefon pintar dengan Snapdragon 8 Gen 3. Menurut Qualcomm AI Stable Diffusion oleh Stability Lab boleh dijalankan terus pada peranti Snapdragon 8 Gen 3 dengan lebih 7 bilion parameter. Apabila prom dimasukkan ke dalam aplikasi yang dihasilkan, imej boleh dijana dalam masa 0.6 saat. Ini memintas masa 15 saat yang diambil oleh Snapdragon 8 Gen 2 untuk melakukan proses yang sama.

Kesemua ini dilakukan tanpa sambungan kepada internet. Pemprosesan tersedia pada mesin akan membolehkan pemilik menjana imej latar belakang seperti yang boleh dilakukan Pixel 8 Pro dalam masa yang berkali ganda lebih pendek. Berkali ganda juga lebih pantas berbanding menggunakan sambungan internet dimana prom yang sama diproses di awanan terlebih dahulu sebelum dihantar semua kepada peranti.

Kami sudah mencuba beberapa AI generatif tahun ini seperti Google Duet di Singapura tiga minggu lalu dan tiada yang sepantas seperti yang kami lihat di demo Snapdragon.

Suntingan Gambar Lebih Pantas Dengan AI

Google Photos mempunyai ciri Magic Eraser yang boleh memadam objek latar belakang dengan tepat. AI digunakan oleh Google untuk ciri ini menggunakan cip Tensor yang eksklusif kepada peranti Pixel. Di Snapdragon Summit ciri yang sama sempat kami uji juga pada peranti demo. Bukan sahaja objek latar belakang boleh dipadam dengan sekelip mata, kami juga boleh mengubah objek dalam gambar.

Dalam sebuah demo di reruai, kami arahkan AI untuk mengubah pintu lif di dalam gambar menjadi tingkap yang memaparkan pantai Hawaii. Seperti demo Stable Diffusion di atas, imej ini dijana oleh perisian Qualcomm dalam masa beberapa saat sahaja. Beberapa iterasi imej boleh dijana dengan hanya menekan butang dalam aplikasi. Turut diperlihatkan ialah ciri Photo Expansion yang menjana imej tambahan yang tiada pada gambar asal. Ia amat mirip ciri Generative Fill pada Photoshop.

Sebelum dan selepas Photo Expansion

Menurut wakil Qualcomm ini membuka pintu kepada pemilik peranti mengubah warna langit, malam ke siang, melakukan zum keluar seakan lensa ultra sudut lebar dan bermacam lagi senario berbeza yang boleh difikirkan dalam kepala mereka.

Pembantu Maya Yang Lebih Pintar

Google Assistant ialah pembantu maya kegemaran kami kerana ia paling pantas, jarang memberikan maklumat aneh dan memahami kesemua arahan yang diberikan. Tetapi seperti AI generatif yang lain, sambungan internet adalah diperlukan sepanjang masa untuk Assistant berfungsi.

Demo AI tersedia Honor

Dengan AI tersedia, pembantu maya peribadi yang kemudian dilatih dengan data peribadi setiap pengguna boleh dihasilkan. Honor menunjukkan demo AI yang diberikan arahan untuk menghasilkan video untuk anak menerusi video-video peribadi dalam aplikasi galeri. AI menyedari pengguna mempunyai lebih daripada satu anak dan kemudian bertanya anak yang mana harus dipilih.

Arahan seterusnya diberikan untuk memilih salah satu anak tetapi hanya video beliau sedang menari dan tersenyum. Kemudian video pendek dijana oleh AI tanpa pemilik perlu melakukan suntingan secara manual atau mencari klip video secara manual. Sepanjang demo hanya skrin pembantu maya dengan AI sahaja terpapar pada skrin.

Kelebihan

Kelebihan AI tersedia dalam peranti tidak terhad kepada kepantasan dan tidak memerlukan sambungan internet. Kelebihan sebenarnya ialah privasi. Dengan semua data diproses dalam peranti tanpa perlu dimuat naik terlebih dahulu ke awanan, pengguna tidak perlu risau data, gambar dan video mereka tertiris ke arena web. Sebuah pembantu maya yang benar-benar memahami rutin harian juga boleh dilatih dengan data peribadi. Setiap pembantu maya dengan AI kelak adalah unik untuk setiap individu. Ia seakan merealisasikan dunia fiksyen HER arahan Spike Jonze sedekad yang lalu.

Hari ini muncul laporan Samsung ingin menjadikan Galaxy S24 telefon pintar dengan AI pertama mereka dengan ChatGPT dan Bard tersedia. Xiaomi 14 pula mempunyai AI generatif yang menjana imej berdasarkan gambar pengguna sebenar. Ini hanyalah dua peranti generasi pertama, dengan model AI yang lebih kecil dipadankan dengan cip berkuasa kelak kita mungkin mungkin di ambang era telefon pintar Android.

Komen