Sejak takuk besar Face ID digunakan pada iPhone X lima tahun yang lalu pengguna merungut ia terlalu besar sehingga menghalang kandungan yang ingin ditonton. Sejak iPhone 14 takuk digantikan dengan lubang kamera. Menjelang 2026, besar kemungkinan ia akan berubah kepada skrin sepenuhnya tanpa sebarang lubang.

Menurut laporan The Elec, sistem Face ID bawah skrin akan mula digunakan pada iPhone bermula 2026. Sistem kamera bawah skrin (UDC) ini sedang dibangunkan oleh LG Innotek menurut laporan The Elec. Ura-ura penggunaan kamera bawa skrin sudah didengari sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi Apple dikatakan masih belum berpuas hati dengan kualiti teknologi sedia ada.
Teknologi UDC telah digunakan oleh Samsung dan ZTE pada peranti mereka. Berdasarkan pengalaman kami sebelum ini diakui gambar diambil menggunakan UDC adalah tidak setanding kamera biasa. Imej kurang bermaya dengan isu silau yang ketara. Ini sebab utama penggunaan UDC masih adalah amat terhad.