Carian
Lenovo Legion Go Kini Di Malaysia Dengan Harga Permulaan RM3,699
December 7, 2023 Fahim Zahar

Lenovo Legion Go adalah sebuah konsol mudah alih yang menjalankan sistem operasi Windows 11. Dua bulan lalu, laman web Lenovo Malaysia menyenaraikan Legion Go pada harga RM3,099 untuk dua model – kemudian terus dibuang. Akhirnya mereka telah mengemaskini laman web mereka dengan memaparkan tanda harga baru untuk kedua-dua model ini.

Legion Go dijana dengan cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 dan Z1 Extreme dengan GPU AMD RDNA 3 yang dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB PCIe Gen4 SSD. Untuk skrin, konsol ini menggunakan panel LCD bersaiz 8.8-inch QHD+ dengan nisbah paparan 16:10 dan sokongan kadar segar semula 144Hz. Bateri berkapasiti 49.2Wh dimuatkan dengan sokongan pengecasan pantas Super Rapid Charge.

Konsol ini turut mempunyai ciri seakan Nintendo Switch, di mana alat kawalan di kiri dan kanan boleh ditanggalkan. Alat kawalan ini diberi nama sebagai TrueStrike dan turut boleh berubah menjadi tetikus FPS untuk permainan video tertentu. Aplikasi Legion Space turut tersedia sebagai hab permainan video untuk akses pantas serta melakukan tetapan khas untuk pengalaman bermain terbaik.

Lenovo Malaysia turut mengacah yang Lenovo Legion Glass iaitu kaca mata AR USB-C dengan skrin mikroOLED FHD 60Hz akan dijual, tetapi tiada harga lagi.

Lenovo Legion Go tampil dengan dua varian yang dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 yang dijual pada harga RM3,699 manakala model AMD Ryzen Z1 Extreme dijual pada harga RM3999.

Sempena jualan kali pertama, Lenovo menawarkan pelindung skrin bernilai RM109 secara percuma dan juga belian-dengan-belian set fon telinga Legion E510 7.1 RGB pada harga RM249 berbanding harga pasaran RM389.

Untuk anda yang berminat untuk pra-tempah konsol PC ini, anda boleh ke laman web Lenovo Malaysia.

Komen