Huawei Mate 60 mengejutkan dunia kerana ia peranti pertama Huawei dalam tempoh empat tahun yang boleh menggunakan rangkaian 5G. Ini dicapai menerusi penggunaan cip Kirin 9000s yang juga adalah cip rekaan sendiri. Walaupun sekadar dihasilkan menggunakan teknologi 7nm, ia masih mengejutkan dunia kerana selama ini ia dilihat mustahil dilakukan oleh syarikat China.
Hari ini muncul laporan mengatakan Huawei dan SMIC sedang membangunkan cip 5nm pertama mereka pula. Huawei kekal bersama SMIC yang menghasilkan cip Kirin 9000s. Cip 5nm ini dipercayai menggunakan teknologi lama DUV kerana SMIC tidak dibenarkan mengimport mesin EUV yang lebih canggih.
Pengeluar lain telahpun berpindah ke EUV kerana kos yang lebih rendah dan hasil yang lebih tinggi. Untuk kekal kompetitif, mesin DUV yang sudahpun dimiliki diubahsuai untuk menghasilkan cip 5nm ini. Sebelum ini terdapat ramalan mengatakan China memerlukan beberapa tahun lagi sebelum mampu menghasilkan cip 7nm apatah lagi cip 5nm.