Cari @ Amanz

Sudah lama Black Shark menyepi dengan tiada khabar mengenai pelancaran telefon pintar baharu mereka. Ogos lepas mereka melakukan kejutan dengan menjual jam tangan pintar. Hari ini mereka akhirnya keluar daripada gua dan melancarkan Black Magic pula.

Black Magic merupakan alat kawalan permainan multi-platform yang menggunakan Bluetooth. Menurut Black Shark ia menyokong PC, Nintendo Switch, iPhone/iPad dan peranti Android. Bukan itu sahaja, kayu analog pada alat kawalan ini turut dijamin tidak akan mengalami isu stick drift kerana menggunakan jenis Hall Effect.

Alat kawalan Black Magic ini menggunakan susun atur mirip alat kawalan Xbox. Butang sebelah kiri adalah ABYX, kemudian di hadapan adalah D-Pad dengan analog, di kanan satu lagi analog, 4 butang bahu biasa dan 4 butang tambahan di belakang.

Black Magic turut mempunyai sistem getaran haptik yang realistik selain dilengkapi bateri 1000mAh dengan ketahanan mencapai 10 jam dan mempunyai tempat pemegang dengan cengkaman tambahan yang diukir dengan laser. Black Magic buat masa ini dilihat dijual di China sahaja pada harga RMB 259 (~RM169) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd