OpenAI melalui saluran rasmi mereka kini memaklumkan mereka sedang menyemak dan menyiasat beberapa aduan, yang menyatakan model GPT-4 semakin “malas” berbanding sebelum ini.
Antara aduan yang hadir ialah GPT-4 tidak memberikan maklumbalas penuh seperti sebelum ini, atau membalas dengan acuh tak acuh, serta tidak melaksanakan apa yang diminta oleh pengguna.
Terdapat juga beberapa spekulasi menyatakan OpenAI melakukan perubahan berkenaan dalam menjimatkan lagi kuasa pemprosesan dan kelajuan memberikan respon. Namun, kini OpenAI melalui akaun ChatGPT memaklumkan yang mereka sedang menyemak aduan mengatakan model GPT-4 yang semakin “malas” berkenaan.
OpenAI mengatakan mereka tidak mengemaskini model GPT-4 sejak 11 November 2023 lepas. Dan perubahan yang berlaku pada model ini juga tidak disengajakan. Pihak OpenAI menyatakan kelakuan sesuatu model itu sukar untuk diramalkan, dan mereka sedang menyemak untuk membaiki masalah yang dihadapi.
Buat masa ini, tiada sebarang tarikh diberikan untuk bilakah perkara ini akan diselesaikan. Untuk makluman juga, sebelum ini OpenAI telah menutup sementara pendaftaran akaun ChatGPT Plus, dan masih tidak memberikan tarikh bilakah ia akan dibuka kembali kepada orang ramai.