Tiada lagi tubuh boleh berubah warna tetapi diberi peningkatan pada sistem kamera. Inilah apa yang dilakukan oleh Vivo sejak siri V27 yang dilengkapi fungsi Aura Light. Ia berfungsi seakan ring light yang amatlah berguna untuk tangkapan gambar dalam pencahayaan malap.
Sama seperti model baharu V29 yang masih dilengkapi Aura Light namun dikatakan lebih pelbagai kegunaan termasuk kebolehan menukar warna mengikut keadaan persekitaran. Selain itu terdapat juga beberapa perubahan berbanding generasi sebelum yang mungkin agak kecil tetapi masih berguna. Untuk tahu lebih lanjut mengenainya teruskan membaca artikel ulasan ini.
Spesifikasi Ringkas
VIVO V29 5G | |
---|---|
Skrin | 6.78″ AMOLED, 120Hz, HDR10+ 1260 x 2800 piksel, 20:9 (~453 ppi density) |
Pemproses | Snapdragon 778G 5G (6 nm) |
Cip | 1 x 2.4 GHz Cortex-A78 3 x 2.2 GHz Cortex-A78 4 x 1.9 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Adreno 642LC9 |
RAM | 12GB RAM |
Muatan Dalaman | 256/512GB ROM |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.9, (Lebar), PDAF, OIS 8 MP, f/2.2, (Ultra-lebar) 2 MP, f/2.4, (kedalaman) 4K@30fps, 1080p@30fps |
Kamera Depan | 50 MP (Lebar), AF 1080p@30fps |
Bateri | 4,600mAh Pengecasan pantas 80W |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano |
NFC | Ada |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap Jari Bawah Skrin Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM 1,799 (12/256GB) RM 1,999 (12/512GB) |
Reka bentuk Dan Skrin
Secara peribadi saya berpendapat reka bentuk Vivo V29 dilihat berkongsi banyak persamaan dengan V27 sebelum ini. Bermulalah daripada skrin hadapan melengkung hingga bonggol kamera yang besar di belakang. Boleh dikatakan kedua-dua peranti ini sukar dibezakan jika hanya dilihat daripada hadapan. Tetapi apabila di pusing ke bahagian belakang sebenarnya ada perbezaan yang agak besar.
Misalnya seperti kedudukan sensor yang disusun secara segi tiga. Kemudian ciri aura light juga lebih besar dengan tambahan satu LED Flash yang amatlah berguna untuk tangkapan gambar dalam pencahayaan malap. Selain itu terdapat juga penjenamaan Vivo pada bahagian bawah yang melengkapi panel belakang peranti.
Kalau diikutkan sebenarnya saiz telefon pintar ini agak besar, tetapi disebabkan tubuhnya yang ringan dan nipis menjadikannya amat selesa untuk dipegang. Ditambah lagi dengan panel belakang dengan kemasan pusam cantik yang berfungsi cukup baik dalam mengurangkan kotoran cap jari. Keseluruhan kerangka dengan bucu yang dibulatkan juga menjadikan pengalaman bertambah baik.
Sebanyak tiga pilihan warna disediakan yang termasuklah warna baharu First Love yang serba merah jambu dalam artikel ini. Sejujurnya saya katakan amatlah suka dengan variasi merah jambu ini. Keadaan ini bukanlah disebabkan saya seorang wanita tetapi lebih kepada warna itu sendiri yang melambangkan keceriaan dan romantik. Di samping mampu membuatkan penampilan seseorang itu nampak menarik. Bahkan jika kena dengan gaya biarpun seorang lelaki tetap sesuai menggunakannya.
Seterusnya skrin berlubang kecil dan panel sejenis AMOLED sekali lagi digunakan pada peranti. Ianya sebesar 6.78-inci yang menyokong resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Sebagai tambahan kandungan HD penuh turut boleh distrim pada aplikasi Netflix kerana peranti dilengkapi sistem DRM Widevine L1. Pengalaman penggunaan keseluruhannya memuaskan dengan kontras yang baik dan warna yang hidup. Kesemua kandungan yang dipaparkan juga nampak jelas meskipun sewaktu digunakan di kawasan terbuka.
Tetapi sedikit kecewa dengan sistem keterangan skrin yang tidak konsisten lebih-lebih lagi apabila ditetapkan pada keterangan automatik. Hal yang sama turut berlaku kepada rakan sekerja saya sewaktu membuat ulasan untuk peranti Vivo X90 sebelum ini.
Peranti memuatkan butang kuasa dan laras audio pada sisi kanan. Kemudian diikuti juga dengan pembesar suara, lubang mikrofon, port USB-C dan slot SIM di bahagian bawah. Tiada ruangan mikroSD diberikan yang bermakna talam SIM yang digunakan sekadar menyokong dwi SIM bersaiz nano.
Selanjutnya tiada yang menarik dengan pembesar suara yang masih sejenis mono dan tiada sokongan Dolby Atmos. Audio yang dihasilkan kedengaran jelas tetapi rata sahaja. Buat penggemar audio berkualiti tinggi, Vivo V29 bukanlah peranti yang sesuai untuk golongan seperti anda.
Biometri
Sistem sekuriti yang digunakan pula ialah pengimbas cap jari terbina di skrin dan berfungsi dengan baik sekali. Tetapi seperti biasa untuk mana-mana peranti yang menyokong teknologi ini, pengguna seharusnya memastikan jari sentiasa kering dan bersih untuk tindak balas yang lancar.
Jika tidak ia boleh mengakibatkan kegagalan peranti dinyahkunci lalu pengguna perlu mencubanya beberapa kali. Sebagai tambahan masih disediakan sokongan imbasan wajah yang juga berfungsi dengan baik.
Sama seperti kebanyakan siri V yang lain, tiada kemampuan kalis dan bicu audio 3.5mm disertakan pada peranti. Pun begitu ia mempunyai NFC yang menjadi antara ciri diperlukan dalam sesebuah telefon pintar masa sekarang.
Perisian Dan Penanda Aras
Vivo V29 menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 778G dan unit ulasan diterima menyokong memori 12GB RAM + 256GB ROM. Tiada slot untuk micrSD disertakan tetapi peranti boleh menambah sehingga 8GB RAM secara maya menggunakan bahagian storan.
Perisian digunakan pula ialah FunTouch OS 13 (berasaskan Android 13) yang seperti biasa menyediakan antaramuka ringkas dalam memudahkan proses penggunaan. Ia turut boleh dikostumasi dengan memadankan warna elemen antaramuka dan latar belakang secara automatik. Namun seperti biasa masih terdapatnya masalah aplikasi gendut yang sedia dimuat-turun dan iklan yang tidak diperlukan juga kerap muncul pada peranti.
Benar, cip yang digunakan agak berusia sejak 2021 tetapi prestasi peranti masih boleh tahan. Pengalaman keseluruhan menunjukkan bahawa tiada langsung isu kritikal ditemui sepanjang tempoh ulasan dibuat. Peranti berfungsi dengan baik dalam kebanyakan tugasan harian termasuk melayari web dan media sosial. Bermain permua untuk tempoh masa yang panjang juga tidak menjadikan peranti terlalu panas.
Berikut adalah markah penanda aras Vivo V29 yang dibandingkan dengan iQOO Z7, Honor X9b, Realme 11 Pro+ dan OnePlus Nord 3.
Geekbench 6
- Vivo V29 – 1008/2728
- iQOO Z7 – 1125/3001
- Honor X9b – 926/2786
- Realme 11 Pro+ – 946/2382
- OnePlus Nord 3 5G – 1092/3337
Antutu 3D
- Vivo V29 – 598,663
- iQOO Z7 – 588,831
- Honor X9b – 464,060
- Realme 11 Pro+ – 562,446
- OnePlus Nord 3 5G – 914,552
Wild Life Extreme
- Vivo V29 – 693
- iQOO Z7 – 808
- Honor X9b – 2,380
- Realme 11 Pro+ – Tiada
- OnePlus Nord 3 5G – 2,296
Kamera
Di sinilah keadaan menjadi menarik apabila fungsi Aura Light pada Vivo V29 dikatakan 36% lebih cerah berbanding sebelum ini. Warnanya juga boleh disesuaikan mengikut persekitaran sama ada secara automatik atau manual. Ini bermakna jika Aura Light pada V27 sebelum ini hanya mampu memancarkan cahaya putih. Pada kali ini ciri tersebut boleh diubah menjadi warna lain termasuk kuning.
Tetapan kamera utama pula terdiri dengan sensor 50MP OIS, ultra-lebar 8MP dan kedalaman 2MP. Kemudian kamera swafoto pula sebesar 50MP dengan autofokus. Rakaman video maksimum 4K turut boleh dibuat menggunakan kedua-dua belah kamera ini dengan sokongan penstabilan terbina.
Melihat secara menyeluruh gambar yang diambil menggunakan sensor utama menunjukkan hasil memuaskan. Penghasilan semula warna nampak hidup bersama kebolehan julat dinamik juga baik. Cumanya hasil gambar ultra-lebar dan potret kurang memberangsangkan.
Penghasilan warna nampak konsisten tetapi perincian tidak dijaga dengan baik dan berlakunya masalah hingar khususnya dalam pencahayaan yang kurang. Gambar potret pula pada dasarnya baik tetapi tidak konsisten. Jelas boleh dilihat kamera gagal membezakan subjek dan latar belakang dalam keadaan yang berserabut.
Begitu juga dengan gambar malam yang nampak memuaskan dengan tangkapan melalui kamera standard. Tetapi apabila Night Mode diaktifkan hasil menjadi kurang tepat khususnya untuk penghasilan semula warna. Turut sempat diuji ialah ciri Full Moon dan hasilnya agak menarik.
Tiada apa yang boleh dikomen mengenai kebolehan kamera swafoto kerana hasilnya memuaskan dalam kebanyakan situasi. Dengan aplikasi suntingan dan penuras terbina juga menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk berswafoto secara kreatif.
Bateri
Bateri sebesar 4,600mAh adalah sama seperti yang digunakan pada V27 sebelum ini. Secara purata peranti mampu bertahan melebihi sehari dengan penggunaan biasa bersama skrin 120Hz yang diaktifkan sepanjang masa. Ia juga boleh bertahan di antara 6 hingga 7 jam lamanya untuk penggunaan yang lebih kerap.
Seterusnya sistem pengecasan berwayar 80W disertakan pula lebih pantas berbanding 66W pada V27. Melaluinya peranti boleh dicas semula dalam masa bawah satu jam melalui port USB-C. Kepala pengecas turut disediakan sekali di dalam kotak bersama kabel USB-C berwarna putih.
Peranti Pesaing
Vivo V29 5G | Honor X9b 5G | Realme 11 Pro+ 5G |
6.78″ AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+ (~453 ppi) | 6.78″ AMOLED, 1.5K, 120Hz, (~431 ppi) | 6.7″ AMOLED, FHD+, HDR10+, 120Hz, (~394 ppi) |
Snapdragon 778G 5G (6 nm) 1 x 2.4 GHz Cortex-A78 3 x 2.2 GHz Cortex-A78 4 x 1.9 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 6 Gen 1 (4 nm) 4 x 2.2 GHz Cortex-A78 4 x 1.8 GHz Cortex-A55 | Dimensity 7050 (6 nm) 2 x 2.6 GHz Cortex-A78 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Adreno 642LC9 | Adreno 710 | Mali-G68 MC4 |
12GB RAM | 8GB RAM | 12GB RAM |
256/512GB ROM | 512GB ROM | 512GB ROM |
Kamera Utama 50 MP, f/1.9 (lebar) OIS 8 MP, f/2.2, (ultra-lebar) 2 MP, f/2.4, (kedalaman) 4K@30fps, 1080p@30fps | Kamera Utama 108 MP, f/1.8 (lebar) 5 MP, f/2.2, (ultra-lebar) 2 MP, f/2.4, (makro) 4K@30fps, 1080p@30fps | Kamera Utama 200 MP, f/1.7 (lebar) OIS 8 MP, f/2.2 (ultra-lebar) 2 MP, f/2.4, (makro) 4K@30fps, 1080p@30fps |
Kamera Hadapan 50 MP (lebar), AF 1080p@30fps | Kamera Hadapan 16 MP (lebar) 1080p@30fps | Kamera Hadapan 32 MP (lebar) 1080p@30fps |
Tidak kalis air | IP54 | Tiada |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Mono | Audio Mono | Audio Stereo |
4,600mAh (Berwayar 80W) | 5,800mAh (Berwayar 35W) | 5,000mAh (Berwayar 100W) |
RM 1,799 (12/256GB) RM 1,999 (12/512GB) | RM 1,499 (8/512GB) | RM1,999 (12/512GB) |
Apa Di Dalam Kotak?
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Vivo V29 5G.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas 80W.
- 1x Manual Pengguna.
- 1x Kerangka Silikon.
- 1x Pin SIM.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan V29 pada dasarnya tidak jauh berbeza dengan V27 sebelum ini. Kalau ada perbezaan ia terletak pada cip pemprosesan tetapi lebih berusia. Kemudian diikuti dengan sistem pengecasan lebih pantas 88W dan sensor 2MP yang kini untuk kedalaman. Walau bagaimanapun masih bergantung pada keperluan masing-masing. Jika mahukan sebuah peranti bagi tujuan fotografi khususnya gambar normal atau swafoto, Vivo V29 antara yang boleh dibeli.
PRO
- Skrin AMOLED 120Hz HDR10+.
- Prestasi masih boleh tahan walaupun cip agak berusia.
- Kamera utama dengan OIS.
- Kamera swafoto 50MP dengan autofokus.
- Sistem pengesasan lebih pantas.
KONTRA
- Tidak kalis air.
- Pembesar suara mono.
- Sensor ultra-lebar dan potret tidak konsisten.
- Aplikasi gendut dan iklan terbina pada OS.