Rekaan Kapal Kargo Berkuasa Nuklear Diperlihatkan Firma China
Effi Saharudin
Ketika dekad 1950an, tenaga nuklear dilihat sebagai sumber tenaga yang dapat menyelesaikan pelbagai isu keperluan elektrik peradaban manusia. Ia turut diuji pada kapal terbang Convair NB-36H dan kapal kargo NS Savannah. Tetapi kini teknologi nuklear hanya digunakan oleh kapal pengangkut pesawat serta kapal selam Amerika dan kapal pemecah ais milik Rusia. Ini adalah kerana kuasa nuklear meningkatkan kos penyelenggaraan serta risiko pencemaran nuklear sekiranya kapal terlibat degan kemalangan.

Firma pembuatan kapal Jiangnan Shipyard yang berpangkalan di Shanghai telah memperlihatkan rekaan kapal kargo kontena KUN-24AP yang menggunakan sumber kuasa nuklear reaktor garam cair (TMSR) thorium. Kapal kargo ini sekiranya dibina, akan menjadi kapal kuasa nuklear terbesar dunia tetapi juga antara kapal kargo terbesar dunia dengan kapasiti bermula 14,000 kontena TEU.
Teknologi MSR thorium sudah dibangunkan sejak 1950a lagi tetapi dilihat pada waktu tersebut tidak sebaik reaktor uranium yang menggunakan sistem penyejukan cecair. China sejak kebelakangan ini melakukan pelaburan besar membangunkan reaktor thorium untuk keperluan tenaga domestik. MSR thorium dipilih kerana ia boleh dibina di kawasan kekurangan air seperti padang pasir Gobi di utara China.
Kelebihan bahan api thorium ialah ia sehingga empat kali ganda lebih banyak di bumi berbanding Uranium. Sementara itu MSR thorium pula tidak akan mempunyai isu kehancuran teras seperti insiden Chernobyl ataupun menghasilkan hidrogen seperti insiden Fukushima.
Kekurangan thorium ialah kos melombong lebih tinggi dan kos penyelenggaraan MSR juga adalah lebih kerap. Rekaan KUN-24AP diperlihatkan kerana industri perkapalan mempunyai reputasi sebagai penyumbang kepada pencemaran dunia.
[sumber] SCMP [/sumber]