Cari @ Amanz

Bulan lepas telah kami laporkan aplikasi Apple TV akan dikemaskini agar ia menjadi hab penstriman untuk lebih banyak platform penstriman video selain Apple TV+. Kemas kini baharu ini sudah pun tiba dalam tvOS 17.2 seperti yang boleh dimuat turun hari ini.

Dalam kemas kini, Apple TV kini mempunyai palang sisi yang memaparkan laman utama, Apple TV+, pas bermusim MSL, kandungan eksklusif sukan, gedung kandungan digital, kategori baharu iaitu Channel & Apps yang menggabungkan Disney+, Paramount+, Max dan banyak lagi. Appple turut akan mencadangkan kandungan baharu untuk ditonton melalui New Shows & Movies, Top Charts, Trending dan For You yang tidak terhad kepada kandungan Apple TV+ sahaja.

Aplikasi iTunes Store turut telah dikemaskini, di mana bahagian filem kini akan mengarahkan anda membeli atau menyewa melalui Apple TV. Begitu juga dengan aplikasi iTunes Movies dan iTunes TV Shows dalam Apple TV+ yang akan membawa pengguna terus ke aplikasi Apple TV. Apple turut telah menambah sokongan profil pengguna, untuk bertukar profil pada kotak Apple TV 4K atau Apple TV HD agar mudah untuk pengguna mengakses kandungan mengikut minat dan corak penggunaan masing-masing.

Channel & Apps dilihat besar kemungkinan hanya terhad untuk pengguna di Amerika Syarikat dan negara-negara yang mempunyai akses kepada Disney+ (bukan Hotstar), Max, Paramount+ dan lain-lain. Di Malaysia, platform penstriman yang ditawarkan tidak sama dengan Amerika Syarikat kecuali Netflix dan Prime Video (hanya tiada akses beli/sewa kandungan digital).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd