Carian
Cermin Mata Ray-Ban Meta Kini Boleh Menterjemah Bahasa Dan Mengesan Objek
December 13, 2023 Fahim Zahar

Ray-Ban Meta generasi kedua telah dilancarkan pada bulan September lalu. Cermin mata pintar ini memfokuskan kepada kebolehan mengambil gambar dan video untuk dikongsi ke Facebook serta turut boleh menghantar mesej WhatsApp. Bukan itu sahaja, Ray-Ban Meta turut menyokong pembantu maya Meta AI iaitu chatbot Meta tersendiri.

Terbaru melalui Meta Channel di Instagram, Mark Zuckerberg telah berkongsi kemas kini Meta AI pada cermin mata pintar mereka. Meta AI kini boleh mengesan objek dan memberi maklum balas berdasarkan permintaan pengguna. Misalnya, tunjuk baju di dalam almari pengguna boleh meminta pendapat seluar apa yang sesuai dipadankan dengannya. Selain itu tunjuk gambar buah, ia boleh menjana kapsyen untuk dikongsi dan juga turut boleh menterjemah bahasa asing dengan arahan suara yang mudah.

Buat masa ini ciri ini masih dalam peringkat ujian dan hanya mereka yang menyertai program akses awal sahaja dapat mencubanya. Ray-Ban Meta dan Meta AI juga adalah produk yang sehingga kini terhad di Amerika Syarikat sahaja.

Komen