Penggunaan garisan jalan bercahaya dalam gelap atau glow in the dark dikatakan mampu membantu pemandu melihat jalan dengan lebih mudah. Sekaligus mengurangkan risiko nahas jalan raya yang kian membimbangkan saban tahun.
Penggunaannya kini telah diperluaskan ke tiga jalan di negeri Melaka yang dikenal pasti sering menjadi lokasi kemalangan maut. Kawasan yang terlibat termasuklah Jalan Kemuning-Hutan Percha di daerah Alor Gajah, Jalan Tehel-Bukit Katil dan jalan Bemban-Serkam di daerah Jasin.

Ia dipilih atas sebab tiada langsung sumber cahaya termasuk daripada lampu di kawasan berhampiran. Setiap jalan tersebut akan diwarnakan dengan garisan bercahaya kira-kira 300 meter dan pelaksanaannya akan berlangsung selama enam bulan bagi melihat keberkesanan.
Pelaksanaan baharu ini sekaligus melengkapkan lagi beberapa lokasi sedia ada iaitu jalan terpilih di Johor dan Jalan Sungai Lalang (B19) di Hulu Langat.