Pada bulan Ogos, dunia fizik digegarkan dengan dakwaan superkonduktor suhu bilik berjaya ditemukan saintis Pusat Penyelidikan Tenaga Kuantum Korea Selatan. Bahan yang diberi nama LK-99 ini menimbulkan pelbagai persoalan kerana jika benar akan menjadi jawapan kepada penghasilan sumber tenaga lestari dan kenderaan elektrik lebih efisien. Tetapi dakwaan saintis Pusat Penyelidikan Tenaga Kuantum Korea Selatan dinafikan oleh saintis antarabangsa yang telah melakukan kajian setara.

Kini Persatuan Superkonduktiviti dan Kriogenik Korea pula mengatakan dakwaan LK-99 ialah superkonduktor adalah tidak berasas selepas ia tidak berjaya dihasilkan semula dalam ujian di lapan makmal tempatan. Kesan Meisner dan rintangan sifar yang sepatutnya wujud pada bahan superkonduktor tidak dikesan pada LK-99.
LK-99 dihasilkan menggunakan sebatian tembaga, plumbum, fosforus dan oksigen. Tetapi kewujudan bendasing dalam bentuk sulfida tembaga menyebabkan LK-99 memaparkan ciri seakan superkonduktor iaitu rintangan elektrik yang rendah serta terapung dalam medan magnet. Pusat Penyelidikan Tenaga Kuantum Korea Selatan juga enggan memberikan sampel LK-99 yang dihasilkan oleh mereka untuk diuji.