Carian
Spesifikasi ASUS ROG Phone 8 Tertiris – Tiada Lagi Skrin Belakang
December 15, 2023 Fahim Zahar

ASUS ROG Phone 8 bakal dilancarkan tidak lama lagi. Peranti ini dilihat akan hadir dengan rekaan baharu yang lebih minimalis kerana imej rasmi yang didedahkan tiada lagi elemen ranggi pada panel belakang serta turut tidak kelihatan adalah panel OLED kecil dan juga ruang udara untuk sistem penyejukan aktif. Pagi ini spesifikasi bagi ROG Phone 8 dan Phone 8 Pro pula telah tertiris.

Kedua-dua peranti ini akan menggunakan skrin 6.76-inci AMOLED FHD+, Gorilla Glass Victus 2, WiFi 6E, dijana Snapdragon 8 Gen 3 dan mempunyai bateri lebih kecil iaitu 5500mAh berbanding model lepas 6000mAh. Untuk memori, ASUS mungkin akan menawarkan 12GB RAM untuk model biasa dan mungkin mencapai 24GB RAM jenis LPDDR5X untuk Pro dengan storan dalaman mencapai 1TB UFS 4.0

Untuk kamera, kedua-dua ROG Phone 8 akan menggunakan gabungan sensor 50MP Sony IMX890 yang sama pada Nothing Phone (2), 13MP sudut ultra lebar, 32MP dengan 3x zum optikal dan 32MP kamera swafoto. Aksesori juga turut akan hadir dengan iterasi baharu seperti kerangka pelindung hitam yang kini ada plat plastik boleh tanggal agar menyokong kipas penyejuk AeroActive Cooler X yang turut boleh menjadi cagak telefon.

ASUS ROG Phone 8 dijangka akan dilancarkan di acara CES 2024, sementara di China akan dilancarkan pada 14 Januari. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai dua peranti gaming baharu ini.

Komen