Jualan Apple Watch Series 9 dan Apple Watch Ultra 2 dihentikan di Amerika Syarikat bagi memenuhi arahan Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa A.S (ITC) yang mendapati Apple melanggar paten teknologi oksimeter darah pada Januari lalu. Jualan kedua-dua model Apple Watch ini akan dihentikan pada 21 Disember di atas talian dan 24 Disember pula di rangkaian kedai fizikal.
Hanya Apple Watch SE sahaja akan dijual kerana ia tidak menggunakan teknologi oksimeter yang sama. Paten oksimeter dipegang oleh Masimo Corp yang merupakan pengeluar kelengkapan perubatan. Mereka mengheret Apple ke mahkamah kerana Apple Watch Series 6 dan ke atas didakwa menggunakan teknologi mereka tanpa lesen dibayar.
Isu paten dan Apple Watch tidak berakhir di sini kerana Apple juga berhadapan saman oleh AliveCor pula yang mendakwa teknologi ECG mereka digunakan tanpa kebenaran sejak 2021. AliveCor juga telah memfailkan aduan ke ITC untuk menghalang pengimportan Apple Watch ke Amerika Syarikat.