Tahun lepas kami telah melaporkan Apple mungkin akan memperkenalkan iPad Pro dengan sokongan pengecasan nirwayar melalui MagSafe dan juga panel belakang kaca. Tetapi perubahan ini tidak berlaku. Terbaru, MacRumors melaporkan yang iPad Pro 2024 pula mungkin akan menerimanya.

iPad Pro 2024 dikatakan akan ditawarkan dengan dua saiz iaitu 11.-inci dan 13-inci. Bukan itu sahaja, iPad ini turut akan menggunakan rekaan serba baharu dengan skrin OLED. Sumber menyatakan yang iPad Pro baharu ini mungkin akan menyokong pengecasan MagSafe seakan MacBook berbanding pengecasan nirwayar pada iPhone untuk pengecasan yang lebih pantas.

Dengan pengenalan iPad serba baharu ini, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan pengecasan berbanding terhad kepada USB-C sahaja. Sama-sama kita nantikan iPad baharu ini pada tahun 2024.