Carian
Porsche Dan Aston Martin Memperlihatkan Antaramuka Apple CarPlay
December 21, 2023 Effi Saharudin

Tahun lalu Apple memperlihatkan antaramuka CarPlay yang mengambil alih keseluruhan papan pemuka kenderaan yang menyokongnya. Ia adalah anjakan paradigma kepada sistem CarPlay yang selama ini hanya mengambil satu skrin kecil sahaja pada sistem info hibur kenderaan. Bagi pemilik kenderaan Porsche dan Aston Martin, kedua-dua syarikat ini telah memperlihatkan implementasi antaramuka CarPlay pada kenderaan keluaran mereka kelak.

Pada Porsche antaramuka CarPlay yang digunakan lebih ceria, moden dan mempamerkan pelbagai maklumat secara serentak. Pada Aston Martin pula rekaan yang lebih konservatif dan tidak begitu banyak maklumat diperlihatkan pada papan pemuka digunakan. Seperti yang diumumkan oleh Apple sebelum ini, apa yang ingin dipaparkan dan bagaimana widget ingin disusun terletak di tangan pengguna serta pengeluar.

CarPlay baharu akan dilancarkan secara meluas menerusi beberapa pengeluar kenderaan utama tahun depan. Ketika Porsche dan Aston Martin ingin menawarkan CarPlay secara menyeluruh, General Motors dan BMW pula mengambil langkah berbeza tidak akan menyokongnya. Terletak di tangan pengguna sama ada langkah yang diambil ini betul ataupun tidak.

Komen