Carian
Pandang Pertama Siri Vivo X100 – Kamera Lebih Luar Biasa
December 23, 2023 Amy Maizuraa

Vivo sedia hadir dengan peranti mercu siri X100 bermula di China sejak November lalu. Kini giliran pasaran global termasuk Malaysia pula akan menyambut kehadirannya. Sementara menunggu pelancaran rasminya pada 3 Januari 2024 di sini saya berkongsi terlebih dahulu pandang pertama untuk peranti tersebut. Ini bagi memberi gambaran awal tentang ciri-ciri disediakan di samping memudahkan kefahaman pengguna apabila dapat mengetahui perbezaan yang wujud.


Spesifikasi

Telefon Pintar
Nama ModelVivo X100 ProVivo X100
Paparan6.78″ AMOLED, 120Hz
1260 x 2800 piksel
6.78″ AMOLED, 120Hz
1260 x 2800 piksel
PemprosesDimensity 9300 (4 nm)Dimensity 9300 (4 nm)
CPU1 x 3.25 GHz Cortex-X4
3 x 2.85 GHz Cortex-X4
4 x 2.0 GHz Cortex-A720
1 x 3.25 GHz Cortex-X4
3 x 2.85 GHz Cortex-X4
4 x 2.0 GHz Cortex-A720
GPUImmortalis-G720 MC12Immortalis-G720 MC12
RAM16GB16GB
Storan Dalaman512GB512GB
Kamera Utama50 MP (lebar),
50 MP (periskop telefoto)
50 MP (ultra-lebar)
50 MP (lebar),
64 MP (periscope telephoto)
50 MP (ultra-lebar)
Kamera Depan32MP32MP
Bateri5400mAh
Pengecasan 100W
5000mAh
Pengecasan 120W
Sim/TelefoniNano SIM + Nano SIMNano SIM + Nano SIM
Sistem ImbasanImbasan Cap Jari & WajahImbasan Cap Jari & Wajah
Harga JualanAkan DikemaskiniAkan Dikemaskini


Rekaan Dan Skrin

Teruskan artikel dengan fokus utama peranti mercu siri Vivo X yang kami yakin anda juga tahu mengenainya. Contohnya seperti reka bentuk anggun, prestasi berkuasa dan kamera canggih berteknologi ZEISS. Dua model berbeza disediakan kelak meliputi Vivo X100 dan X100 Pro yang secara umumnya mempunyai penampilan serupa dengan perbezaan kecil. Sememangnya agak sukar untuk membezakan kedua-dua telefon pintar ini secara bersahaja justeru satu-satunya cara adalah perlu diperhatikan dengan teliti pada binaan bonggol kamera di belakang.

Bonggol kamera pada X100 Pro lebih tebal berbanding versi standard. Jika diperhatikan dengan kaca yang melindungi sensor peranti X100 Pro agak terkeluar sedikit daripada bonggol kamera utama. Ini berbeza pula dengan kaca digunakan pada peranti X100 yang sama ratanya dengan bonggol utama. Kemasan bergerigi yang menghiasi sekeliling bonggol kamera juga mengingatkan saya pada bonggol kamera Oppo Find X6 Pro. Sebanyak tiga sensor disediakan dengan salah satunya menyokong telefoto periskop kemudian LED Flash pula diletakkan secara berasingan di luar bonggol kamera.

Cukup kemas apabila diletakkan di bahagian tengah yang menjadikan rekaan peranti nampak simetri berbanding siri X90 sebelum ini. Namun seperti saiznya yang besar kemungkinan penyebab tubuh peranti terasa berat sewaktu dipegang. Cuma kelebihan sisi yang dibulatkan sepenuhnya menjadikan kedua-dua peranti tiada masalah untuk digunakan dengan sebelah tangan. Bagaimanapun ini pandangan peribadi saya dan mungkin berbeza bagi rakan sekerja iaitu Effi dan Fahim yang pernah membuat ulasan untuk siri X90.

Bonggol kamera Vivo X100 Pro
Bonggol kamera Vivo X100

Seterusnya panel belakang juga menggunakan material kaca dengan kemasan berbeza mengikut warna. Misalnya seperti peranti bewarna biru menggunakan panel kaca denga kemasan diinspirasi daripada motif dan corak yang ada pada bintang di langit. Ia juga lebih licin berbanding peranti bewarna hitam dengan kemasan berkilauan seakan yang terdapat pada generasi Vivo X sebelum ini. Secara peribadi saya berpendapat bahawa kemasan hitam kelihatan lebih baik dan kemas, di samping mampu mengurangkan isu kotoran. Pun begitu hal ini tidak bermakna kemasan biru tidak lawa malah tampil lebih menonjol dalam mencipta kepelbagaian gaya.

Beralih ke hadapan pula panel AMOLED sebesar 6.78″ FHD+ berkadar segar semula 120Hz digunakan. Pengalaman bertambah baik dengan bezel keempat-empat sisi sama nipis menjadikannya nampak seimbang. Ini digabung juga dengan lubang kecil di tengah yang menyokong kamera swafoto tunggal 32MP. Sistem sekuriti digunakan pula ialah pengimbas cap jari terbina di skrin dan berfungsi dengan baik sekali. Sebagai tambahan masih disediakan sokongan imbasan wajah.

Susun atur butang standard adalah sama untuk kedua-dua peranti. Butang kuasa dan laras audio boleh ditemui di sebelah sisi kanan. Diikuti juga pembesar suara stereo, port USB-C, lubang mikrofon dan slot SIM di bahagian bawah. Melengkapinya lagi adalah pemancar merah yang berada di sisi atas. Tiadanya bicu audio 3.5mm langsung tidak mengejutkan khususnya peranti masa kini. Namun adanya piawaian IP68 pula sememangnya dilihat nilai tambah cukup menarik.


Perkakasan Dan Perisian

Cip MediaTek Dimensity 9300 digunakan pada kedua-dua peranti ini. Ini merupakan cip mercu terkini Mediatek dengan binaan 4nm. Jika mengikut perkiraan peranti ini juga menjadi yang terawal di Malaysia dijana cip pemprosesan tersebut. Peranti juga menyokong memori 16GB RAM dan storan 512GB untuk unit di dalam artikel ini. Tiada slot untuk microSD disertakan tetapi peranti boleh menambah sehingga 16GB RAM secara maya menggunakan bahagian storan.

Perisian digunakan pula ialah FunTouch OS 14 (berasaskan Android 14) yang juga menyediakan antaramuka ringkas dalam memudahkan proses penggunaan. Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini FunTouch OS 14 memberi tumpuan lebih mendalam kepada aspek penting yang termasuk keupayaan berbilang tugas.

Misalnya seperti fungsi tetingkap kecil yang kini menyokong sehingga 12 aplikasi dengan proses tukar ganti lebih mudah. Melalui fungsi Mini Windows pula kawalan meleret ke sisi dipertingkatkan yang amat berguna untuk penggunaan lebih daripada satu aplikasi dalam satu masa. Sebagai contohnya bermaun permua sambil membalas mesej.


Tetapan Kamera

Perbezaan ketara boleh dilihat pada tetapan kamera setiap peranti. Tiga sensor beresolusi 50MP dengan OIS digunakan pada peranti X100 Pro.Kamera utamanya menggunakan sensor 1″ Sony IMX998, kemudian digabung juga sensor telefoto periskop dengan teknologi ZEISS APO baharu serta zum digital 100X. Akhir sekali ialah sensor ultra lebar dan kesemua lensa dilengkapi Coating T* Zeiss yang dikatakan boleh mengurangkan isu pantulan lebih baik berbanding generasi sebelum. Kelebihan lain turut boleh dilihat pada variasi pro apabila cip ISP V3 digunakan bersama.

Sementara itu peranti X100 pula menggunakan sensor utama 50MP dengan padanan 64MP telefoto dan 50MP ultra-lebar. Kesemua lensa juga dilengkapi Coating T* Zeiss namun hanya cip ISP V2 yang digunakan pada X100.


Kapasiti Bateri

Kapasiti bateri dan sistem pengecasan adalah berbeza diantara kedua-dua peranti. Melaluinya X100 Pro menggunakan bateri 5,400mAh yang menyokong pengecasan berwayar 100W. Sementara itu bateri 5000mAh dengan pengecasan lebih pantas 120W pula digunakan pada peranti X100.

Ini boleh dianggap cukup besar untuk sebuah peranti mercu kasual. Tolak tepi peranti seperti ROG Phone misalnya kerana kelompok berbeza yang lebih kearah peranti permua. Sekali dikatakan kapasiti bateri ini boleh menjadi yang cukup besar untuk sebuah peranti mercu kasual. Dengan pengecasan pantas mencapai 120W pula bermakna pengguna boleh menjangkakan tempoh pengecasan semula menjadi lebih pendek berbanding kebiasaan.


Kesimpulan

Sebagai kesimpulan X100 Pro dan X100 pada dasarnya tidak jauh berbeza. Kalau ada perbezaan ia terletak pada kapasiti bateri, sistem pengecasan, konfigurasi kamera utama dan jenis cip ISP yang digunakan. Pun begitu kesemua ini masih bergantung pada keperluan masing-masing dan nantikan ulasan penuh daripada Amanz untuk tahu lebih menyeluruh tentang prestasi peranti pula.

Komen