Cari @ Amanz

Berbaki tiga hari sebelum tahun 2024 membuka tirai nampaknya Oppo cuba menarik perhatian ramai melalui produk baharu. Salah satu daripadanya adalah Oppo Reno11 Pro 5G yang secara umumnya dikenali sebagai peranti kelas pertengahan dengan fokus terhadap kamera.

Berkongsi lanjut kami telah diberi akses awal untuk melihat dengan lebih dekat penawaran pada peranti. Namun fokus utama artikel pada ketika ini adalah dari segi rekaan tanpa penjelasan lanjut berkaitan spesifikasi dalaman. Hal ini memandangkan spesifikasi tersebut hanya akan didedahkan dengan lebih menyeluruh sejurus ianya dilancarkan kelak.


Apa Di Dalam Kotak

Mulakan artikel dengan sesi nyahkotak yang menunjukkan pembungkus digunakan adalah serupa dengan generasi sebelum. Konsep minimalis dengan warna dominan putih dan kelabu menjadi pilihan Oppo sekaligus menampakkan rekaannya lebih kemas serta tampak santai.

Penjenamaan peranti dengan tulisan hitam turut diselitkan menerusi kotak terbabit bagi memudahkan ia dikenal pasti sebagai Oppo Reno11 Pro 5G. Diikuti juga dengan penerangan spesifikasi ringkas dan variasi warna seperti biasa di bahagian belakang.

Buka sahaja kotak anda akan disajikan dengan kotak putih yang mengandungi kerangka pelindung, manual pengguna dan pencungkil SIM. Selanjutnya diikuti dengan telefon pintar itu sendiri yang dibalut dengan kertas nipis, di samping aksesori lain seperti kepala pengecas dan kabel.

Antara perkara yang jelas kelihatan ialah kepala pengecas disertakan menyokong kuasa output 100W sementara itu kabel pula sejenis USB-A ke USB-C.


Rekaan Fizikal

Pelanduk dua serupa, itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan banyaknya persamaan di antara peranti ini dengan generasi sebelum. Khususnya dari aspek reka bentuk yang menyaksikan banyak persamaan bermula daripada skrin hadapan hingga panel belakang.

Meletakkan peranti secara bersebelahan juga sudah tentunya agak sukar dibezakan jika hanya dilihat daripada hadapan. Tetapi apabila di pusing ke bahagian belakang sebenarnya ada perbezaan yang ketara. Misalnya seperti bonggol kamera kini memiliki ukuran cukup besar dan memanjang serta memakan ruang yang banyak.

Sebanyak tiga sensor disediakan dengan kedudukan yang berbeza kemudian LED Flash pula diletakkan berasingan daripada bonggol kamera. Sama ada sedar atau tidak bonggol kamera juga tidak menunjukkan sebarang penjenamaan untuk cip ISP MariSilicon X. Ini bermakna kamera peranti tidak menyokong cip ISP tersebut yang sebenarnya tidaklah begitu mengejutkan kerana pengeluarannya telah ditamatkan sejak Mei yang lalu.

Bagi yang bertanya mengenai material digunakan pula, ianya sejenis kaca dengan kemasan berbeza mengikut warna. Sebagai contoh peranti yang diterima sekarang berwarna Pearl White atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai putih mutiara.

Melaluinya Oppo memilih warna putih sebagai rona dominan yang kemudian digabungkan corak abstrak pada sudut tertentu bertujuan memberi kesan lebih menarik. Justeru ia boleh nampak moden, dalam masa sama sesuai digunakan oleh pelbagai kelompok pengguna.

Binaan tubuh tidak banyak berubah dengan skrin hadapan melengkung dan berlubang kecil untuk peletakan kamera swafoto. Di ruangan yang sama saiz bezel keempat-empat sisi hampir sama nipis menjadikannya nampak seimbang.

Di tangan telefon terasa cukup ringan. Boleh dikatakan bahawa pengalaman memegang itu terasa sama seperti Reno10 Pro+ 5G sebelum ini disebabkan dimensi fizikal yang hampir sama baik untuk ketebalan atau berat. Bahagian sisi juga dibulatkan untuk keselesaan ketika dipegang. Sistem sekuriti digunakan pula ialah pengimbas cap jari terbina di skrin dan imbasan wajah.

Susun atur butang standard sama seperti generasi sebelum. Butang kuasa dan laras audio boleh ditemui di sebelah sisi kanan. Diikuti juga pembesar suara mono, port USB-C, lubang mikrofon dan slot SIM di bahagian bawah. Tiadanya bicu audio 3.5mm langsung tidak mengejutkan bahkan sudah sedia berlaku sejak Reno5 lagi. Pun begitu wujudnya pemancar merah di bahagian atas telah memberi nilai tambah cukup menarik.


Sekian sahaja sedikit sebanyak perkongsian kami mengenai reka bentuk. Persoalan berkaitan butiran penuh termasuk harga jualan akan dikongsi kemudian. Kami juga akan membuat ulasan penuh bagi melihat prestasinya dalam dunia nyata. Seperti biasa setia dengan kami dengan Amanz untuk kemas kini lebih lanjut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd