Cari @ Amanz

Tahun 2023 telah disahkan saintis dari Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah sebagai tahun yang paling panas sejak suhu mula direkodkan. Pada tahun 2023, terdapat enam bulan yang memecahkan rekod suhu paling tinggi. Purata suhu dunia pada tahun lalu adalah 1.46 ºC lebih panas berbanding suhu praperindustrian (1850-1900) meluas bermula di muka bumi.

Suhu purata dunia adalah 1.5 ºC lebih tinggi setiap hari sejak 6 September berbanding praperindustrian. Laporan diterbitkan pada awal Disember lalu sebelum 2023 berakhir tetapi data yang dikumpul mencukupi untuk menobatkannya sebagai tahun yang paling panas.

Pengumuman oleh Copernicus tidaklah mengejutkan kerana pada Julai lalu rekod suhu purata paling panas telah dicatatkan menggunakan data Agensi Meteorologi Jepun yang konsisten dengan data Pentadbiran Atmosfera Lautan Kebangsaan (NOAA) dan Copernicus.

Perubahan iklim telahpun menyebabkan kemusnahan habitat serta ancaman kepupusan terhadap flora dan fauna bumi. Kepada manusia pula ia menyebabkan bencana alam yang semakin luar biasa. Data dari Copernicus menunjukkan sasaran Perjanjian Iklim Paris 2015 yang ingin menghadkan peningkatan suhu 1.5 ºC mungkin akan menghadapi kegagalan. Pandemik memperlahankan peningkatan suhu global tetapi ia hanya sekadar sementara sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd