Sony telah melancarkan satu lagi kamera terbaru iaitu Sony A9 III yang merupakan kamera nircermin bingkai penuh yang memiliki pengatup global terbina pertama di dunia. Penulis berkesempatan untuk merasai sendiri pengalaman menggunakannya bagi melihat sendiri apa yang menarik pada kamera ini. Kemampuan dan kecanggihan Sony A9 III ini pada pandangan pertama sudahpun mampu memberi tanggapan baik meskipun tanpa pengalaman penggunaan panjang dan ini adalah salah satu daripada model kamera canggih yang ada di pasaran hari ini.
SPESIFIKASI
Sony A9 III | |
Jenis | Kamera Nircermin Bingkai Penuh |
Sensor | Pengatup global bingkai penuh 24.6MP CMOS |
ISO | 250-25600 , 125-51200 |
Rakaman | 4K 120 FPS , 4K 60 FPS |
Berat | 702g |
Skrin | OLED |
Harga | RM29,999 |
REKAAN
Kamera Sony A9 III merupakan sebuah kamera yang direka khas untuk kegunaan profesional maka binaan reka bentuknya juga nampak canggih. Melihat kepada rekaan tubuh kamera, kualiti binaannya tampak kukuh dan premium serta tahan lasak. Meskipun begitu, jika dilihat kepada saiznya, Sony A9 III ini memiliki tubuh yang tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil dimana saya rasakan tiada sebarang ralat mengenainya. Pada hemat saya, saiz kamera dengan reka bentuk DSLR ini adalah mudah untuk dikendalikan serta mampu memberikan keselesaan dalam genggaman.
Rekaan butang pengatup kamera juga sedikit berbeza dengan model sebelum ini dimana kedudukan butang adalah lebih selesa untuk ditekan. Bentuk yang sedikit melengkung pada bahagian berkenaan menjadikan genggaman kamera terasa lebih cermat dan tidak terasa kekok semasa ingin menekan butang.
PERISIAN
Kamera Sony A9 III memiliki sensor imej CMOS dengan bingkai penuh bersaiz 24.6 Megapixel yang baru dibangunkan dimana ia merupakan pengatup global yang pertama di dunia. Ciri kamera ini turut dilengkapi dengan sistem penstabilan 5 paksi IBIS. Menjadi pelengkap kepada kecanggihan kamera ini ialah Sony A9 III turut didatangkan dengan cip pemproses imej Bionz XR dimana ia adalah 8 kali lebih berkuasa daripada pemproses yang dimiliki oleh edisi kamera sebelum ini iaitu Sony A9 II.
Apa yang lebih mengujakan, dengan ciri pengatup global yang terbina, kamera ini boleh menangkap gambar secara autofokus penuh dengan penjejak AE sehingga 120fps tanpa memperlihatkan sebarang kesan pergerakkan pengatup (rolling shutter). Kepantasan kamera seperti ini tidak pernah saya rasai sebelum ini dan kelajuan pengatup global yang terbina pada kamera ini adalah sangat mengagumkan dengan kelajuan pengatup maksimum 1/80000 dalam mod pemacu tunggal dan 1/16000 jika merakam secara berterusan berserta sistem autofokus yang dikuasai AI.
Pengatup global yang terbina pada kamera ini juga membolehkan penangkapan gambar dapat dibuat tanpa sebarang kelipan. Oleh itu, tidak akan berlaku sebarang unsur lekuk pada hasil gambar yang diambil walaupun objek bergerak dalam kelajuan pantas. Bukan itu sahaja, Sony A9 III juga bebas dari bunyi pengatup. Semasa gambar diambil, tiada bunyi pengatup yang kedengaran. Apa yang dapat saya katakan, berdasarkan kepada kuasa pengatup global yang terbina pada Sony A9 III ini, jaminan kebebasan dalam berkereativiti tanpa had seperti yang diidamkan pastinya akan dapat dinikmati.
Walaupun saya hanya berkesempatan menggunakannya dalam tempoh 2 jam, tetapi saya sudah berhasil menangkap beberapa keping gambar seolah-olah seperti seorang profesional untuk fotografi sukan. Dalam erti kata lain, meskipun bukan seorang yang mahir dalam tangkapan gambar sukan, dengan menggunakan Sony A9 III hasil gambar seolah-olah diambil oleh profesional.
Sepanjang tempoh 2 jam penggunaan ini saya hanya banyak menilai kamera dari sudut tangkapan gambar dan kurang menggunakan mod rakaman video. Tetapi kemampuan merakam video oleh Sony A9 III ini juga pastinya bukan calang-calang. Ia hadir dengan 4K 120 FPS tanpa suntingan dan apabila disunting daripada rakaman 6K dapat mencapai sehingga 4K 60 FPS.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kamera Sony A9 III adalah sebuah kamera canggih yang pastinya mampu memberikan pengalaman penggunaan serta hasil gambar yang memukau. Walaupun harga yang ditawarkan (RM 29,999) adalah mahal dari rata-rata kamera mirrorless yang ada di pasaran, tetapi kemampuan serta kecanggihan yang dimiliki oleh kamera ini adalah berbaloi dan menjanjikan kepuasan dalam fotografi berkelajuan tinggi. Apa yang saya harapkan, dengan kecanggihan teknologi yang telah disematkan dalam kamera Sony A9 III ini mungkin boleh diaplikasikan juga ke dalam edisi kamera Sony A7 kelak dengan penawaran harga yang lebih mampu milik.
PRO
- Memiliki pengatup global bingkai pertama dunia
- Cip pemproses imej BIONZ XR yang 8 kali lebih baik berbanding keluaran sebelum.
- Bebas kelipan (flicker free)
KONTRA
- Agak berat untuk tempoh penggunaan lama.
- Harga agak mahal.