Carian
Facebook Perkenal Ciri Link History Untuk Menjejak Pautan
January 3, 2024 Effi Saharudin

Hari ini Facebook memperkenalkan ciri baharu Link History pada aplikasi telefon pintar. Menerusi skrin yang dipaparkan dalam aplikasi, Facebook mengatakan Link History memudahkan pengguna menjejak sebarang pautan yang pernah di klik dari dalam aplikasi supaya boleh dijejak semula di kemudian hari.

Secara lalai Link History diaktifkan kepada semua pengguna tetapi anda boleh mematikannya menerusi butang yang terpapar pada skrin. Walaupun dilancarkan sebagai cara untuk anda menyimpan pautan, Facebook mengatakan ciri ini juga akan digunakan oleh mereka bagi menyasarkan iklan yang lebih relevan dengan minat anda. Dengan iOS mula menghalang penjejakan serta Android bakal menyertakan ciri yang sama, ini adalah langkah terbaru Meta untuk mengumpul data pengguna yang semakin sukar dilakukan.

Data Link History akan disimpan selama 90 hari sebelum dipadam. Pada waktu ini Link History mula diberikan kepada pengguna di Amerika Syarikat terlebih dahulu dengan ia akan diaktifkan kepada pengguna global secara berperingkat.

Komen