Carian
Snapdragon XR2+ Gen 2 Dilancarkan Dengan Kerjasama Samsung Dan Google
January 5, 2024 Fahim Zahar

Cip Snapdragon XR2 Gen 2 adalah antara cip peranti set kepala realiti diperluas (XR) yang popular. Ia digunakan pada Pico 4, Meta Quest 2, Meta Quest 3 dan Meta Ray-Ban. Terbaru, Qualcomm telah hadir dengan cip baharu pula iaitu Snapdragon XR2+ Gen 2 yang dibangunkan bersama-sama dengan Google dan Samsung.

Cip ini menyokong peningkatan prestasi GPU sehingga 15% dan pada CPU pula sehingga 20%. Sokongan resolusi 4.3K setiap mata serta lebih 12 kamera turut disertakan. Sokongan kamera yang banyak ini akan membantu peranti memproses kandungan 3D, imbasan wajah serta pergerakan pemakai. Ia turut menjamin video boleh dimainkan pada kadar sela masa perlahan sekitar 12ms.

Sokongan WiFi 7, Bluetooth 5.3 dan Bluetooth 5.2 untuk sambungan alat kawalan dengan sela masa 50% lebih rendah serta sambungan keseluruhan yang 60% lebih efisien. Cip ini dikatakan akan digunakan oleh Samsung untuk set kepala AR mereka yang ditunda serta pernah tertiris. Set kepala ini akan bersaing dengan Apple Vision Pro suatu hari nanti.

Sama-sama kita nantikan butiran lanjut untuk mengetahui peranti mana lagi yang akan menggunakan cip ini pada tahun ini.

Komen