Cari @ Amanz

Google Bard ialah chatbot dengan kecerdasan buatan (AI) yang diumumkan tahun lalu. Pada waktu ini ia boleh digunakan secara percuma sebagai alternatif kepada ChatGPT. Tahun lalu juga Google Gemini diumumkan sebagai model AI yang paling terkini dengan Gemini Ultra adalah yang mempunyai kemampuan tertinggi. Menurut pembangun Dylan Roussel, beliau menemukan petanda Bard Advanced akan ditawarkan menggunakan Gemini Ultra tetapi untuk pengguna berbayar sahaja.

Bard Advanced akan mempunyai kemampuan lebih pantas serta melakukan kira-kira matematik. Bard pada ketika ini masih sekadar menggunakan Gemini Pro. Besar kemungkinan ia akan hanya ditawarkan kepada pelanggan Google One sahaja. Taktik ini sudahpun digunakan Google dengan beberapa ciri canggih Google Photo juga hanya diberikan kepada pelanggan Google One.

Selain Bard Advanced, Roussel turut menemukan ciri Motoko yang merupakan bot yang boleh digunakan untuk pelbagai keperluan. Juga ditemukan ialah ciri Gallery yang memberitahu pengguna prom yang boleh digunakan untuk berinteraksi dengan Bard di masa hadapan.

Secara keseluruhan tahun ini akan menjadi sebuah lagi tahun AI cuma ia lebih mudah diakses, diintegrasikan secara lebih mendalam dan terbina terus pada peranti. Kita akan mengetahui sama ada apa yang dijanjikan akan mencapai apa yang diharapkan dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd