Cari @ Amanz

Perkongsian MSI sebelum ini menimbulkan pelbagai tanda tanya apabila muncul dengan video mempromosikan produk baharu. Bagaimanapun ia seakan terjawab apabila kini tular pula poster promosi yang memaparkan sebuah konsol permainan mudah alih keluaran pengeluar berkenaan.

Ia dikenali sebagai MSI Claw dengan rekaan seumpama sebuah ASUS ROG Ally. Terdapat dua butang analog dilengkapi lampu RGB bewarna-warni, empat butang pemuka (X, Y, A, B), satu butang D-Pad dan pembesar suara di bahagian hadapan. Ini dipadankan pula dengan penjenamaan MSI yang jelas terpampang di bahagian paparan.

Gambar sekadar hiasan – ROG Ally

Tiada butiran lanjut mengenai spesifikasi didedahkan buat masa ini. Namun markah penanda aras tertiris menunjukkan konsol ini boleh dijana dengan pemproses Intel Meteor Lake baharu yang berkemungkinan besar Intel Core Ultra 7 155H. Konsol ini dikatakan akan muncul di pentas utama CES 2024.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd