Sebelum ini kami melaporkan Kesatuan Eropah (EU) ingin menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan kesemua bateri pada peranti elektronik boleh diganti oleh pemilik. Ramai menyangka ia hanya akan melibatkan telefon pintar, tablet, dan komputer riba. Namun begitu dalam dokumen terkini EU menunjukkan ia turut akan melibatkan kenderaan elektrik (EV) dan bateri yang digunakan dalam perindustrian menjelang 18 Februari 2027.
Pemilik perlu diberikan pilihan oleh pengeluar bagi menggantikan sendiri atau mendapatkan perkhidmatan daripada perniagaan terlatih untuk menukar bateri. Bateri lama kemudiannya perlu dikumpul, disimpan dan dikitar semula sepenuhnya bagi memastikan rantai penggunaan yang lestari.
Selain itu EU akan memerlukan tapak karbon setiap bateri yang digunakan harus dinyatakan. Sasaran jumlah minimum bahan kitar semula yang digunakan juga perlu dipatuhi. Sebagai contoh 63% bateri yang dikeluarkan perlu dikitar semula menjelang 2027. Sementara itu 80% litium pada bateri terpakai perlu boleh dikitar semula menjelang 2030.
Walaupun RUU ini hanya melibatkan peranti dan kenderaan yang dipasarkan di EU, impaknya akan dapat dirasakan pada kesemua penduduk dunia. Contoh terbaik ialah EU memerlukan peranti elektronik menggunakan USB-C menjelang Disember 2024 menyebabkan Apple menawarkan iPhone dengan USB-C tahun lalu menggantikan port Lightning.