Cari @ Amanz

Selari dengan acara CES 2024 yang berlangsung minggu ini, sejumlah pengumuman dan pengenalan produk telah dijadualkan pelbagai jenama seluruh dunia. Samsung turut tidak ketinggalan, dan mereka kini mencuri perhatian melalui pengenalan skrin lutsinar mikro-LED.

Ini sekaligus memposisikan Samsung jauh di hadapan pelbagai pengeluar lain yang masih bereksperimen dengan skrin lutsinar berasaskan LED, sementara Samsung telah melangkah ke arena mikro-LED.

Apabila diletakkan secara sebelah menyebelah, keterangan panel MicroLED lutsinar adalah lebih tinggi pada waktu yang sama boleh menunjukkan objek di belakang dengan lebih jelas berbanding OLED dan LCD lutsinar. Ia juga nipis serta boleh menggunakan rekaan nirbingkai sepenuhnya. Sekilas pandang panel MicroLED lutsinar Samsung kelihatan seperti sebuah kaca tingkap biasa.

Satu lagi kelebihan panel MicroLED ialah ianya modular membolehkan sebarang paparan dengan saiz dan nisbah skrin dihasilkan oleh Samsung bagi kegunaan TV di rumah atau paparan komersial di ruang perniagaan.

Pada waktu ini teknologi panel MicroLED lutsinar Samsung masih sekadar sebuah demo tanpa sebarang garis masa bilakah ia akan ditawarkan sebagai produk yang boleh dibeli oleh orang ramai. Hari ini juga di CES LG Signature OLED T telah diperlihatkan dengan ia akan menjadi TV pintar OLED lutsinar pertama dijual kepada orang ramai selepas beberapa tahun wujud sebagai unit demo sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd